KPWKM Perlu Semak Semula Perkahwinan Bawah Umur – Zuraida

16
0
Oleh: Fadhil Daud

PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  (KPWKM), Zuraida Kamaruddin mahu menilai semula langkah yang bakal diambil dalam usaha membasmi perkahwinan bawah umur dalam negara.

Jelasnya, jika setiap perkahwinan itu dibiarkan, ianya bakal menyebabkan lebih banyak kesan negatif dan akan mewujudkan perspektif songsang terhadap pembangunan kanak-kanak di Malaysia.

Melalui pemerhatian pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) wanita di Malaysia merekodkan kebanyakan perkahwinan kanak-kanak perempuan bawah umur tidak kekal lama.

“Purata perkahwinan kanak-kanak bawah umur hanya mampu bertahan dalam jangka masa 5 tahun sahaja, kerana disebabkan faktor penceraian ataupun kematian si suami.

“Perkara ini juga mendatangkan masalah yang lain apabila ibu-ibu muda ini terpaksa dibebani tugas menjaga anak kecil sedangkan mereka masih belum matang untuk menggalas tanggungjawab sebegitu besar,” ulasnya kepada pemberita sebentar tadi.

Sambung beliau lagi, wanita harus berpendirian tegas menangani isu sebegini bagi membendungnya dari terus berleluasa.

Di Malaysia, kanak-kanak berumur bawah 18 tahun diberi perlindungan khas dan dikawal dibawah Akta Kanak-Kanak 2001 bagi tujuan menjaga kepentingan mereka.

“Pindaan pada 2016 pula dibuat sebagai penambahbaikan ke atas Akta kanak-kanak 2001 demi memperkukuhkan perlindungan ke atas mereka.

“Ini adalah selaras dengan falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) 1989, Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 yang juga menekankan prinsip perlindungan kepada kanak-kanak di Malaysia,” katanya.