KLFA Berhak Dipimpin Individu Berkaliber – Subadron Aziz

183
0

Oleh : Saadah Latib

KUALA LUMPUR: Kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) diharapkan dapat mengembalikan zaman kegemilangan pasukan itu seperti mana  yang pernah dikecapi pada era 80 dan 90-an.

Bekas pemain Kuala Lumpur dan kebangsaan, Subadron Aziz meluahkan harapan beliau kerana berpendapat pasukan yang pernah dibarisi beliau suatu ketika dahulu kini hanya diibaratkan seperti ‘telur di hujung tanduk’.

Menurut beliau, perkara ini perlu dipandang serius demi menyelamatkan pasukan itu.

“Bukan kita nak cakap Datuk Seri Adnan Md Ikhsan atau Datuk Rashid Hasnon tidak bagus atau sesiapa pun tetapi kita hanya mahu melihat pembangunan bola sepak berada dijalan yang betul.

“Sesiapa yang bakal mengelola KLFA selepas ini diharapkan dapat membawa pasukan ini dibawah landasan yang betul,” katanya ketika diminta mengulas berkenaan pergelutan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KLFA bagi penggal 2018-2022.

Tambah beliau, KLFA berhak dipimpin oleh individu yang progresif dalam membangunkan bola sepak dan tidak hanya mementingkan kedudukan peribadi.

“Jangan buat perkara yang merugikan KLFA atau yang membawa kepada kepentingan diri,” tegasnya.

Subadron adalah antara watak penting membantu KL menjulang juara Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut pada 1987, 1988 dan 1989.

Beliau juga berharap transformasi bakal berlaku dalam skuad warga kota itu dan dapat mengulangi zaman kegemilangan yang pernah dikecapi pada zamannya.