KKMM Sangkal Tular Dokumen Dilupuskan

28
0

PUTRAJAYA: Tiada dokumen dilupuskan di bangunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di sini sebagaimana dakwaan yang sedang tular di media sosial, kata Ketua Setiausaha KKMM, Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Beliau berkata, dakwaan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, melalui Twitter dan Facebook menyatakan dokumen di kementerian itu telah atau sedang dimusnahkan adalah tidak benar.

“Saya telah pun menghubungi Fahmi dan menjelaskan kepada beliau mengenai perkara ini. Beliau akan membetulkan kenyataan beliau tersebut,” katanya.

Namun, beliau kesal kerana sehingga jam 4.40 petang tadi, sebanyak 3,197 retweet dibuat berhubung kenyataan itu.

Sharifah Zarah menegaskan, beliau memandang serius jika terdapat ketidakpatuhan peraturan dilakukan oleh mana-mana pegawai berkaitan perkara berkenaan.

Malah, katanya, sebaik kembali daripada menghadiri mesyuarat bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin lalu, beliau terus mengadakan mesyuarat dengan semua pegawai pengurusan tertinggi KKMM.

“Salah satu arahan tegas saya adalah supaya semua warga KKMM dilarang sama sekali memusnahkan atau membawa keluar sebarang dokumen rasmi dari premis kementerian.

“Saya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib sekiranya didapati ada warga KKMM yang melanggar peraturan berkaitan dengan perkara ini,” katanya.