Kita Masih Perlukan Najib – Bung Moktar

114
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak masih diperlukan untuk mentadbir negara ini, kata Datuk Bung Moktar Radin.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, pihak yang mahu Najib berundur daripada kedua-dua jawatan itu, mereka perlu tunggu sehingga pilihan raya akan datang atau Pemilihan UMNO pada 2018.

Beliau menjawab Gerakan Selamatkan Malaysia yang tidak putus-putus mendesak Najib berundur kerana didakwa tidak layak memerintah negara lantaran dikaitkan dengan gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Katanya, tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta veteran UMNO, Tan Sri Sanusi Junid membuktikan mereka terdesak untuk menjatuhkan Perdana Menteri sehingga sangup bersekongkol dengan pembangkang.

“Tunggu la pilihanraya atau pemilihan UMNO untuk membawa perubahan, buat masa ini Najib masih diperlukan,” katanya kepada FMT.

Sehubungan itu, beliau mendesak supaya Lembaga Disiplin UMNO mengambil tindakan tegas kepada Muhyiddin, Mukhriz dan pemimpin UMNO lain yang bertindak melanggar Perlembagaan parti.

“Buat masa ini UMNO perlu meneliti langkah-langkah yang perlu diambil kepada mana-mana ahli parti yang melanggar batas perlembagaan parti, ini penting untuk kemantapan parti,” katanya.

Mengulas mengenai kecaman Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Tengku Razaleigh Hamzah yang menandatangani Deklarasi Kelantan menyokong Najib, Bung Moktar berkata, apa yang dilakukan veteran UMNO itu adalah ikhlas tanpa adanya niat terselindung di sebalik sokongan itu. – FMT