Kit Siang Minta BN Pulangkan Dana 1MDB

5
0

NILAI: Parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu memulangkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diterima, supaya dapat diserahkan kembali kepada rakyat.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata bekas Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, dalam wawancara khas dengan sebuah portal berita mengakui mengenai dana untuk pilihan raya itu.

“Jadi, saya rasa semua parti termasuk UMNO, MCA, Gerakan, MIC serta parti komponen di Sabah dan Sarawak perlu pulangkan dana 1MDB itu.

“Pulangkan kepada bendahari supaya semua duit itu dapat dipulangkan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Seminar Kebangsaan: Visi Islam Dalam Aspirasi Malaysia Baharu sempena Muktamar Sanawi Kali Ke-47 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Kit Siang yakin Soi Lek tahu itu adalah dana 1MDB kerana ketika tahun 2013, itu adalah satu isu besar.

“Dia tahu tetapi dia kata kalau ‘bapa’ yang bagi (dana) bagaimana. Kalau dia tahu atau syak itu adalah wang curi kenapa tidak tanya,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan, bekas Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, mengagihkan RM470 juta kepada parti komponen BN pada pilihan raya umum 2013 dan daripada jumlah itu sebanyak RM16.5 juta untuk MCA.

Soi Lek pada Oktober 2015 mengakui MCA adalah antara parti BN yang menerima dana itu, namun mengakui tidak mengetahui sumber dana itu.