Khairy Pertikai Isu PTPTN

61
0

Oleh : Saadah Latib

KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengenai isu penangguhan pembayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya peminjam belum memperoleh gaji RM4,000 yang masih dalam kajian kementerian dilihat sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaludin berkata walaupun 100 hari Manifesto Pakatan Harapan masih berbaki 30 hari ini namun kerajaan masih belum memberi keputusan muktamad mengenai isu penangguhan pembayaran itu.

“Walaupun berbaki sebulan, saya melihat jawapan menteri bahawa perkara ini masih lagi dikaji dan juga kenyataan daripada Pengerusi PTPTN semalam, bahawa kajian masih dilakukan menunjukkan bahawa kemungkinan besar janji ini tidak dapat ditunaikan.

“Sebab hari ini menteri masih tidak dapat memberi penjelasan berkenaan tanggungan kewangan kerajaan persekutuan sekiranya janji ini dilaksanakan.

“Sekiranya ianya dilakukan maknanya PTPTN terpaksa mengambil pinjaman untuk sediakan dana bagi pemohon-pemohon baharu dan biasanya akan dijamin oleh kerajaan, perkara ini akan menambah hutang negara yang dikatakan terlalu besar sekarang ini.

Mantan Menteri Belia dan Sukan itu mempertikai respon daripada Dr Maszlee yang dilihat memberi jawapan yang tidak meyakinkan mengenai janji yang dinyatakan sebelum Pilihan Raya Umum pada May lalu.

“Saya akan terus menekan kerajaan supaya kita dapat penjelasan dalam masa terdekat kerana ini merupakan janji penting  kerana ramai orang muda telah mengundi Pakatan Harapan berdasarkan isu PTPTN.