Khairy Jamaluddin Pilih Kekal Pertahankan Rembau

33
0

REMBAU: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kekal bertanding kerusi Ahli Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Khairy Jamaluddin yang mengakui ditanya Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak, mengenai perkara itu, berkata selepas menyandang kerusi itu selama dua penggal, beliau membuat keputusan mahu kekal di Rembau.

“Ada perbincangan untuk tempat (kerusi) lain, saya kata terpulang kepada Pengerusi BN kerana saya orang parti hanya mengikut arahan tetapi jika ditanya pilihan saya sudah pastilah (bertahan) di kawasan ini.

“Walaupun kawasan ini dianggap kubu kuat BN tetapi saya lebih melihat kepada pembangunan di kawasan ini. Sudah 10 tahun saya menjadi wakil rakyat dan banyak lagi benda saya nak buat di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Pemimpin Bersama Rakyat dan penyerahan kunci rumah yang dibaik pulih di Rumah Rakyat Pedas di sini, hari ini.

Khairy Jamaluddin berkata, beliau yakin BN akan terus diberi mandat mentadbir kerajaan kerana memiliki calon yang berkualiti.

“Mungkin akan ada kekangan dari segi isu semasa dan sebagainya, tetapi di Rembau kita amalkan pendekatan membuat keputusan untuk kawasan kita. Berkenaan isu semasa saya boleh jelaskan.

“Saya minta pengundi jangan buat silap berdasarkan emosi dan akhirnya kita tidak dapat menikmati pembangunan,” katanya.

Pada PRU-12, beliau yang bertanding buat pertama kali di Parlimen Rembau, menang dengan majoriti 5,746 undi selepas menewaskan calon PKR, Badrul Hisham Shaharin.

Populariti Khairy Jamaluddin terus terserlah, apabila menang dengan majoriti bertambah kepada 18,357 undi, ketika menewaskan calon PKR, Radzali A Ghani serta calon bebas Abdul Aziz Hassan, pada PRU-13.