Khairy Gesa PH Bawa ‘Perompak’ GST Ke Muka Pengadilan

33
0

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) digesa membawa individu yang terlibat dalam dakwaan “merompak” bayaran balik GST ke muka pengadilan.

Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, ini kerana pemimpin BN tidak boleh menerima dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam sidang Dewan Rakyat semalam.

Kata Khairy, anggota parlimen Bagan itu juga dilihat gagal memberi jawapan secara tepat.

“Kalau betul berlaku penyelewengan, tak dipulangkan wang GST pada peniaga, maka siapa yang membuat keputusan mesti dibawa ke muka pengadilan.

“BN tidak boleh menerima apabila kami dituduh merompak RM19.4 bilion wang pembayar cukai GST,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Tegas Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda Umno, perkataan ‘rompakan’ itu adalah tuduhan besar dan merupakan perbuatan jenayah.

Oleh itu, siasatan dalaman di Kementerian Kewangan sahaja tidak mencukupi, katanya.

Beliau berkata, atas sebab yang sama beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Manakala satu laporan akan dibuat di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok.

Justeru, beliau berharap siasatan yang bakal dilakukan beberapa pihak berkuasa itu tidak diganggu

“Kalau dah buat tuduhan berat seperti ‘rompakan’, saya rasa siasatan dalaman tak cukup sebab BN termasuklah anggota pentadbiran lalu nak membersihkan nama dan imej daripada tohmahan berat ini,” katanya.

Lim ketika penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 di Dewan Rakyat dua hari lepas mendakwa kerajaan BN ‘merompak’ bayaran balik GST yang sepatutnya dipulangkan kepada peniaga dalam masa dua minggu.

Beliau sekali lagi membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat semalam dengan berkata audit dalaman dan pemeriksaan kastam mendapati sejumlah RM18 bilion hilang dalam tabung bayaran balik GST.

Ekoran daripada itu satu laporan polis dibuat oleh Timbalan Ketua Perhubungan Umno Bahagian Rembau, hari ini di Balai Polis Sentul.-MK