Khairy Gesa Belia Sertai Politik

110
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Khairy Jamaludidn Abu Bakar mengatakan golongan belia perlu terlibat dengan proses politik agar polisi kerajaan yang lebih baik dapat dibentuk.

Menteri belia dan sukan itu bagaimanapun tidak meminta golongan belia mengundi parti-parti tertentu kerana percaya pilihan terletak di tangan mereka sendiri.

“Hari ini semua orang mengejar sokongan orang muda. Setiap parti di Malaysia, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan, semua mahukan sokongan daripada anak muda.

“Saya bukan berada di sini untuk memberitahu anda supaya mengundi itu atau ini kerana saya percaya pilihan terletak pada diri anda.

“Dan sebagaimana saya mahukan anda untuk mengundi parti saya, akhirnya apa yang anda perlu lakukan adalah pulang dan anda perlu membuat keputusan sendiri kerana secara jujurnya, itu sahaja yang saya boleh katakan saya datang ke sini dan bercakap kepada anda dan katakan saya percaya pada anda.

“Jika saya datang ke sini dan berkata saya percaya anak muda dan saya menyelitkan dalam ucapan saya, terima kasih banyak-banyak, undi Barisan Nasional, saya tidak percaya anda.

“Saya perlu tinggalkan pentas ini dan berkata terpulang kepada anda dan pulang serta berdoa supaya anda undi Barisan Nasional,” kata ketua Pemuda Umno itu dalam ucapannya semasa program “National Aspiration and Leadership Summit 2016” di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Sambil mengakui isu ini menjadi perhatian utama beliau, Khairy berkata belia Malaysia harus mempunyai kepentingan dalam pembangunan negara.

“Anak-anak muda, berumur 18 hingga 30, kini membentuk 25% daripada jumlah penduduk dunia yang mencecah 1.8 bilion, yang tertinggi pernah dicatatkan.

“Sekarang jika kita mengambil kira mereka yang berumur sehingga 40 tahun, kumpulan itu meningkat hampir 10% lebih tinggi daripada 1970. Dengan jumlah yang besar ini, anak-anak muda yang akan menentukan ekonomi, pasaran, dan trend masa depan.”

Beliau berkata, walaupun golongan muda membentuk ekonomi, dasar-dasar kerajaan, perumahan, pendidikan, imigresen, seluruh dunia tidak memihak kepada belia kerana belia tidak mengundi atau tidak mengambil bahagian dalam proses politik.