Kesihatan Mental Remaja: Cabaran Membentuk Masa Depan Negara

48
0

Oleh: Faizal Riduan & Saadah Latib

Lebih dua dekad yang lalu, Kementerian Kesihatan gigih mempromosikan kempen “Badan Cergas, Otak Cerdas” sejak di bangku sekolah lagi. Ironisnya hari ini berbaki dua tahun lagi, penyakit mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar selepas penyakit jantung menjelang tahun 2020.

Sebelum ini negara dikejutkan dengan laporan berita yang menunjukkan 29 peratus rakyat Malaysia menghadapi masalah mental iaitu peningkatan lebih tiga kali ganda sejak 10 tahun lalu. Pendedahan kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2017 yang mendapati 5.5 juta remaja berusia antara 13 hingga 17 tahun mengidapi gejala yang sama jauh lebih membimbangkan.

Laporan itu turut mendedahkan keadaan paling kritikal dengan 11.2 peratus remaja dalam kelompok tersebut mempunyai idea untuk membunuh diri, 9 peratus merancang untuk membunuh diri dan 10.1 peratus melalukan cubaan untuk membunuh diri. Lebih menakutkan apabila kes paling tinggi direkodkan melibatkan pelajar tingkatan satu.

Tambah laporan itu lagi, satu dalam setiap lima orang mengalami kemurungan (18.3 peratus), dua dalam setiap lima orang dilanda simptom keresahan (39.7 peratus) dan satu dalam setiap 10 orang mengalami stres (9.6 peratus) maka kelompok remaja adalah berisiko tinggi untuk mendapat penyakit mental jika rawatan awal dan pencegahan tidak dilakukan.

Untuk itu bagi Pengerusi Yayasan Kesihatan Mental (MHF), Tan Sri Hashim Meon melihat kesedaran awal perlu dipupuk sejak di bangku sekolah bagi remaja dan menjadi sebahagian kemahiran keibubapaan dalam keluarga sebagai elemen pencegahan kerana jika tidak dibendung rawatan bagi pesakit mental akan memakan kos, masa dan tenaga yang lebih banyak.

“Dengan statistik yang kian meningkat saban tahun, kesedaran pencegahan dari rumah sebenarnya lebih berkesan membendung masalah kesihatan mental sebelum ia menjadi lebih kritikal sebagai pesakit mental. Sistem sokongan keluarga dan masyarakat juga membantu remaja yang berisiko untuk kembali kepada gaya hidup sihat secara rohani dan jasmani,” jelas Hashim sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018 yang disambut hari ini.

Bagi Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Norhayati Ibrahim masyarakat hari ini menilai kesihatan mereka semata-mata berasaskan kepada keadaan fizikal tanpa menyedari bahawa kesihatan mental lebih berisiko merosot setiap hari.

“Kesihatan mental bermaksud kita memberikan perlindungan dan pencegahan di peringkat awal daripada mendapat gejala pesakit mental. Sebab perkara ini (kesihatan mental) kita hadapi dalam kehidupan seharian tetapi kita tidak mampu mengenalpasti masalah berkaitan kesihatan mental.

“Kalau masalah fizikal seperti terseliuh, kita boleh merasai sakit di kaki dan keperluan untuk mendapatkan rawatan doktor. Namun jika membabitkan kesihatan mental seperti sukar untuk tidur, berdebar-debar, rasa hendak marah tetapi tidak marah dan emosi yang keterlaluan maka kita beranggapan ianya biasa dan normal. Kita tidak tahu bahawa perasaan sebegitu adalah masalah sakit mental dan perkara itu bukanlah sakit mental.”

Oleh yang demikian, cabaran terbesar masa kini kepada ibu bapa dan institusi keluarga ialah mengubah stigma bahawa masalah mental bersamaan dengan penyakit mental dan melihat pesakit mental kepada orang yang meracau dan merayau.

Tambahnya lagi masalah mental sebenarnya juga wujud di dalam rumah dengan simptom seperti kemurungan, keresahan dan stres yang menyumbang kepada tingkahlaku bermasalah dan lebih jauh kepada jenayah juvana.

Tekanan untuk mendapat keputusan terbaik di sekolah, jadual dan disiplin yang ketat dari rumah serta memenuhi jangkaan ibu bapa yang tinggi turut menyumbang kepada masalah kesihatan mental bukan sahaja kepada remaja di Malaysia tetapi di Amerika Syarikat.

Sementara itu, menurut Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Hospital Kuala Lumpur, Dr Aminah Kassim selain faktor peranan ibubapa, cara pembesaran kanak-kanak, keadaan sosial ekonomi dan sejarah penyakit dalam keluarga, cabaran paling utama ialah kesan media sosial yang membawa masuk dunia luar ke dalam bilik dan minda anak-anak.

“Ianya bukan disebabkan televisyen sahaja, kita bercakap mengenai Facebook, Instagram, WhatsApp, WeChat, pornografi dan buli siber. Jika kesan yang positif seperti pembelajaran sains dan Bahasa Inggeris di internet tiada masalah. Namun jika kegunaanya melebihi daripada keperluan maka ianya sememangnya memberi impak negatif.

“Walau anak selamat dengan berada di dalam rumah namun seluruh dunia mampu dilihatnya hanya dalam bilik yang tertutup dan ini memberikan risiko kepada pendedahan dan akses yang tidak sepatutnya,” tambahnya yang melihat peranan ibu bapa lebih penting untuk membina ketahanan mental dan kekuatan dalaman anak-anak.

Malah sikap ibu bapa sendiri yang meluangkan lebih banyak masa terhadap peranti dan telefon pintar berbanding perhubungan semuka di rumah menjadikan mereka imun dan lali dengan persekitaran berisiko dengan statistik yang sama menunjukkan bahawa 2 daripada 7 remaja sekolah menengah mengalami ketagihan internet sementara 6 daripada 7 adalah pengguna aktif internet.

Persoalannya dengan seramai 140 ahli psikologi klinikal dan 360 pakar psikiatri berdaftar termasuk di sektor swasta serta perkhidmatan psikiatri di empat buah institusi mental dan 48 hospital kerajaan di seluruh Malaysia, adakah ia cukup untuk menampung jumlah pesakit pada masa depan? Inilah cabaran kepada kewarasan negara pada masa depan!

Tema “Kesihatan Mental Remaja dalam Perubahan Dunia” sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2018 adalah penekanan tepat dan semoga ia tidak menjadi seperti slogan “Badan Cergas, Otak Cerdas”. Ini adalah tanggungjawab kita bersama bermula dari rumah dan bukan hospital psikiatri semata-mata.