Kes Gunting Lidah: Kementerian Pendidikan Serah Kepada Polis

252
0
KONGSI

BACHOK: Kementerian Pendidikan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes buli yang berlaku di sebuah sekolah di Selangor semalam.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pihak Kementerian akan menunggu tindakan selanjutnya oleh polis.

“Kes itu jadi kes polis, biarlah siasatan dilakukan pihak polis dan apa juga tindakan oleh polis kita akan patuh kerana insiden ini melibatkan kecederaan.

“Pihak Jabatan Pendidikan Selangor telah meminta sekolah terbabit membuat laporan tentang apa yang berlaku dan pada saya, biarlah polis siasat,” kata Mahdzir.

Dalam insiden semalam, seorang pelajar tahun dua Sekolah Rendah Bukit Tinggi, Klang telah dipaksa rakannya untuk menggunting lidah sendiri.

Mangsa, Muhammad Ali Shukran Alias, 8, dilapor diugut akan dibelasah lima murid tahun tiga sekiranya enggan berbuat demikian.

Kes kini dalam siasatan pihak polis setelah ibu mangsa membuat laporan.

Mengulas lanjut mengenai kes buli melibatkan pelajar sekolah, Mahdzir berkata ia tidak menunjukan trend peningkatan.

Katanya, kes buli yang berlaku melibatkan sekolah tertentu di mana persekitaran kawasan turut menyumbang kepada perlakuan tersebut.

Katanya lagi, sukar untuk Kementerian memantau lebih 5 juta pelajar dan sudah pasti kes berkenaan boleh berlaku di mana sahaja tidak kira sama ada sekolah bandar atau luar bandar.

Di samping itu, beliau menjelaskan kes-kes melibatkan sekolah, dibolehkan diselesai di peringkat sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri tanpa perlu merujuk kepada pihak Kementerian.

Katanya Jabatan Pendidikan Negeri diberi kuasa untuk menentukan bentuk tindakan terhadap kes melibatkan salah laku pelajar.