Kerjaya Politik Muhyiddin Tamat Jika Kalah PRU14

84
0

KUALA LUMPUR: Kerjaya politik Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berakhir jika beliau tewas pada pilihan raya umum ke-14 akan datang, kata seorang pengananlis politik.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ainul Adzellie Hasnul berkata, ini lebih-lebih lagi kerana peranan Muhyiddin sebagai presiden parti itu dilihat hanya sebagai sementara.

Menurutnya, Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi parti, lebih berminat untuk mengangkat anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai presiden parti itu kelak.

“Muhyiddin perlu ambil semula tugasnya sebagai presiden yang selama ini digalas oleh Dr Mahathir.

“Tugas memberikan kenyataan media tentang isu berbangkit dan isu berkenaan dasar parti sepatutnya milik beliau, bukan sekadar menyelesaikan hal-hal kecil seperti penubuhan jawatankuasa di peringkat bahagian dan cawangan.

“Jika begini gayanya, sekiranya beliau kalah dalam PRU-14 nanti, ia akan menjadi penamat kepada karier politik beliau,” katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia hari ini.

Ainul Adzellie juga berkata, Muhyiddin perlu lebih menonjolkan diri dari segi dasar parti dan tidak membiarkan dirinya ditenggelamkan.

“Dalam Pakatan Harapan juga beliau tenggelam. Sepatutnya selaku presiden, beliau sekurang-kurangnya dicalonkan sebagai timbalan perdana menteri,” katanya lagi.

Sebelum ini, spekulasi bertiup kencang, Muhyiddin diuar-uarkan mungkin tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh yang dipegangnya dan bakal berpindah ke Muar.

Beliau juga dilaporkan berkata, dirinya bersedia di mana-mana sahaja dan sebagai pemimpin veteran, tidak ada masalah baginya bertanding di mana-mana pun.

Pada PRU13, Muhyiddin, yang ketika itu adalah timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, telah mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh dengan majoriti 12,842 undi, mengalahkan lawannya daripada PAS Mohd Rozali Jamil.

Muar kini dipegang oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Razali Ibrahim yang menang di kerusi itu sejak tiga penggal lalu.

Pihak yang menyokong Muhyiddin bertanding di Muar berkata majoriti kecil yang dimenangi Razali pada PRU lalu, iaitu 1,646 undi, selain peratusan pengundi bukan Melayu yang tinggi akan memberi kelebihan kepadanya.