Kerajaan Timbang Turun Tambang Pengangkutan Rel – Khalid Samad

8
0

PETALING JAYA: Kerajaan menimbang untuk menurunkan kadar tambang pengangkutan awam sebagai langkah drastik mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan pusat bandar.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, pihaknya akan mengambil kira semua aspek bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam khususnya yang berasaskan rel untuk ke tempat kerja.

“Sebelum ini sudah banyak alternatif yang dicadangkan oleh pelbagai pihak untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas, namun masih tidak berjaya.

“Jadi, mungkin kita akan turunkan kadar tambang pengangkutan rel jika ia boleh memaksimumkan penggunaan pengangkutan awam yang disediakan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat bilik operasi berita di Sri Pentas, di sini, hari ini.

Beliau diiringi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Johan Ishak; Pengarang Urusan, Berita dan Ehwal Semasa MPB, Datuk Manja Ismail dan Ketua Kandungan Komersial dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen MPB, Azura Zainal Ratin.

Katanya, penurunan tambang pengangkutan awam bagaimanapun tidak akan menelan perbelanjaan yang besar selain dapat mengurangkan masalah pencemaran alam dan kesesakan lalu lintas yang berlarutan sejak sekian lama.

“Sebagai cadangan, jika kita kurangkan tambang pengangkutan awam, subsidi minyak petrol akan disalurkan kepada tambang yang diturunkan itu.

“Kita juga akan adakan kempen dan apa saja program kesedaran di kalangan penduduk supaya mereka beralih menggunakan kemudahan pengangkutan awam,” katanya.

Sementara itu, Khalid berkata pihaknya akan merangka satu program menyeluruh untuk untuk menyelesaikan masalah miskin bandar dengan peruntukan yang dimohon melalui Bajet 2019 tidak lama lagi.

“Melalui bajet wilayah (2019) yang kita mohon, saya berharap tumpuan khas akan diberikan kepada kebajikan golongan B40 dan miskin bandar.

“Selama ini ada beberapa program yang dijalankan, tapi tiada tumpuan khusus kepada golongan B40 seperti pemberian kad ceria bagi warga emas.

“Jadi, satu program akan dirangka supaya semua pihak yang memerlukan dapat merasai manfaat sekali gus dapat menurunkan kadar miskin bandar dengan lebih efektif,” katanya.

Dalam masa sama, Khalid berkata penganjuran Oktober Fest tidak sepatutnya dipolemikkan kerana pesta berkenaan tidak banyak beza dengan perayaan lain di Malaysia yang diraikan oleh orang bukan Islam.

“Sebagai contoh, perayaan Krismas dan Tahun Baru Cina, ada juga aktiviti minum arak dan kita tidak boleh halang mereka daripada meraikan kepercayaan masing-masing.

“Jadi, dalam isu penganjuran Oktober Fest, memadailah sekiranya penganjur mematuhi syarat yang dikenakan seperti tiada promosi dan melarang orang Islam daripada menyertainya,” katanya.