Kerajaan Tiada Perancangan Untuk Bubar 1MDB

134
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Kerajaan tiada perancangan pada masa ini untuk membubarkan 1MDB, kata Kementerian Kewangan.

Kementerian itu menyatakan demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam.

Ia bagi menjawab soalan Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) mengenai sama ada 1MDB akan dibubarkan sebelum 2020.

1MDB adalah ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga menteri kewangan.

Syarikat itu menjadi subjek siasatan dakwaan rasuah di beberapa negara, termasuk Switzerland, Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat.

Bank Negara juga telah menyiasat 1MDB, tetapi Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengarahkan tiada tindakan lanjut diambil ke atas penemuan bank pusat itu.

Najib secara konsisten menafikan dakwaan bahawa dana 1MDB telah disalur ke dalam akaunnya, dan berkata dakwaan itu adalah satu plot untuk menjatuhkan beliau.

1MDB juga menanggung hutang yang besar – dikatakan RM42 bilion – yang telah mendorong kerajaan untuk menjual aset utama 1MDB termasuk Edra Global Energy dan Bandar Malaysia.

Sepanjang krisis tersebut, kerajaan bertegas bahawa 1MDB mempunyai lebih banyak aset daripada hutang.