Kerajaan Sudah Belanja RM280 Juta Cari MH370

91
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah membelanjakan RM280, 508, 213.76 sehingga Februari lalu untuk operasi pencarian pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat, hari ini berkata sehingga kini operasi pencarian MH370 di laut sudah menjangkau ke kawasan seluas 86,752 kilometer persegi.

Liow berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen (BN-Simpang Renggam) Liang Teck Meng yang ingin tahu mengenai status terkini pencarian MH370 yang dilaporkan hilang, kedudukan serta jumlah perbelanjaan kerajaan dalam misi berkenaan.

Teck Meng juga ingin tahu ada sebarang petanda mengenai dalang yang menembak jatuh pesawat MH17 di Ukraine dan usaha terkini untuk mendakwa pihak bertanggungjawab.

Tiong Lai berkata jenayah berhubung nahas pesawat MH17 masih dijalankan oleh Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) yang diterajui oleh Belanda dan dianggotai oleh Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine.

“Siasatan dijangka akan berterusan sehingga pertengahan tahun 2016. Dalam hubungan ini, usaha untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam nahas pesawat MH17 adalah bergantung kepada hasil siasatan jenayah terbabit.

Malaysia bersama-sama dengan negara yang diwakili dalam JIT sedang meneruskan perbincangan bagi dua opsyen pendakwaan yang telah dikenal pasti iaitu pendakwaan di peringkat nasional oleh salah satu negara anggota JIT dan pendakwaan oleh suatu tribunal antarabangsa yang diwujudkan khas nanti,” katanya.

Beliau berkata bagi maksud keputusan antara kedua-dua operasi terbabit hasil siasatan jenayah perlu diperoleh terlebih dahulu kerana akan menjelaskan tempat pemastautin orang yang disyaki kewarganegaraannya dan tempat terbaik untuk mereka dibicarakan.

“Walau apa pun opsyen pendakwaan dan perbicaraan yang diputuskan kelak, keupayaan untuk memulakan pendakwaan terhadap mana-mana tertuduh adalah tertakluk kepada adanya keterangan yang mencukupi yang boleh diterima oleh mahkamah,” katanya.