Kerajaan Negeri Sedia Bantu Ustaz Kazim Elias

40
0

IPOH: Masalah kewangan yang dihadapi Pusat Pendidikan Al-Barakah sehingga memaksa pengasas dan pengetuanya, Datuk Kazim Elias menjual Unit Tahfiz pusat berkenaan tidak diketahui oleh Kerajaan Negeri Perak.

Pengerusi Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, pihaknya sehingga kini tidak menerima sebarang makluman atau laporan dari sesiapa pun, termasuk dari Kazim sendiri.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka dan boleh mengadakan perbincangan pada bila-bila masa dengan pengurusan pusat berkenaan sekiranya pusat itu memerlukan bantuan daripada kerajaan negeri.

“Kalau mahu bantuan tidak ada masalah, boleh jumpa terus dengan saya, saya pun tak tahu masalah mereka sebab mereka pun tak pernah berhubung dengan saya.

“Sesiapa pun boleh jumpa dengan saya bukan Al-Barakah sahaja, kita (kerajaan negeri) akan lihat keperluan, kalau kita boleh bantu, kita akan bantu selesaikan,” katanya.

Datuk Kazim atau dikenali sebagai Ustaz Kazim ketika ditemui NSTP, hari ini mengesahkan akan menjual Unit Tahfiz Al Barakah di Pusat Pendidikan Al-Barakah miliknya disebabkan tidak mampu menampung kos pentadbiran pusat berkenaan.

Keputusan sedih itu terpaksa diambil Ustaz Kazim berikutan tidak mampu lagi untuk menampung kos pentadbiran keseluruhan pusat berkenaan yang kini mencecah RM150,000 sebulan.

Ustaz Kazim turut memaklumkan masalah itu disebabkan beliau kurang menerima jemputan kuliah serta ceramah kerana kos pentadbiran pusat berkenaan digunakan melalui pendapatan diperolehnya.

Beliau mengakui sejak dua tiga bulan lalu seperti ada satu usaha menyekat ceramahnya atau ceramahnya dibatalkan dan dihalang hingga tidak mampu menampung Al Barakah.

Sementara itu, Asmuni turut menegaskan kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan menghalang mana-mana tokoh penceramah agama termasuk Ustaz Kazim daripada menerima jemputan berceramah di masjid dan surau di negeri ini.

Katanya, pengurusan jawatankuasa kariah masjid dan surau di seluruh negeri masih lagi berfungsi di bawah lantikan kerajaan terdahulu.