Kerajaan Negeri Sarawak Keluar BN – Abang Johari

23
0
KONGSI

Oleh : Wartawan MySuara

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Sarawak hari ini mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan sebuah parti baharu, dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan meninggalkan BN itu diputuskan sebulat suara oleh empat parti komponen BN Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi BN Sarawak pagi ini.

Menurutnya, pendirian itu dibuat selepas membuat perbincangan, maklum balas dan pertimbangan keadaan semasa politik di negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Parti komponen BN Sarawak terdiri daripada PBB, SUPP, PRS dan PDP telah membuat keputusan sebulat suara untuk meninggalkan BN dan menubuhkan gabungan baharu berasaskan parti Sarawak dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Tertinggi BN Sarawak di Ibu Pejabat PBB di sini.