Kerajaan Komited Bantu MARA Bangunkan Modal Insan

17
0
KONGSI
Oleh: Nurul Saadah Latib
SUBANG: Seramai lebih 5,000 orang anak-anak MARA berjaya dihimpunkan bersempena dengan Himpunan Anak MARA ‘Menggengam Langit Biru’ di UniKL MIAT, Subang hari ini.
Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak berkata MARA telah melahirkan pemimpin ternama yang banyak mencurahkan bakti kepada negara.
“Antaranya Tan Sri Omar Wahid, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed dan ramai lagi.
“Masa depan mereka berubah dengan begitu ketara sekali, daripada masa depan yang kelam dan masa depan yang tidak menentu kepada masa depan yang yang cerah kerana jasa MARA”, kata beliau.
Tambah beliau, MARA tidak wujud dengan sendiri tetapi dengan dasar dan keputusan yang dibuat kerajaan hari ini, pelbagai institusi seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Kolej Profesional MARA (KPM) dan Kolej MARA (KM) menjadi kenyataan dengan dasar perjuangan secara berterusan oleh kerajaan Barisan Nasional.
“Keyakinan terhadap UMNO, adalah satu-satunya parti politik yang mampu menjamin masa depan.
“Semua telah berubah kerana dasar yang dibawa UMNO. Anak-anak serta cucu-cucu kita berubah kerana perjuangan UMNO dan BN. Apa jua keadaan jangan bersetuju dengan pembangkang, mereka cuba nak salahkan kerajaan untuk semua perkara.
“Berkat sokongan saya sebagai perdana menteri, saya akan tetapkan Malaysia tercinta sebagai negara terkemuka dunia”, kata beliau.