Kerajaan Cukup Pendapatan Hapus GST – Tun M

51
0

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan mempunyai pendapatan mencukupi untuk menghapuskan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Perdana Menteri berkata, pihaknya sedar banyak pihak ditekan dengan cara salah dan dipaksa membayar cukai lebih daripada ditentukan undang-undang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Siapa yang dipaksa, berapa banyak mereka terpaksa bayar, kita akan cuba ganti balik wang mereka. Tetapi, kerajaan kena tahu (dapatkan maklumat) daripada mereka sendiri yang sudah bayar cukai .

“Mereka didekati Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dipaksa bayar. Jika tak bayar, mereka akan didera dengan disenarai hitam tak boleh keluar negara, pasport ditarik balik atau serbuan diadakan, dan buku akaun dirampas serta mengganggu perniagaan,” katanya pada Sesi Penerangan Perdana Menteri, di kediamannya, di sini, sebentar tadi.

Dr Mahathir berkata, kerajaan sedar kegelisahan rakyat terhadap dasar cukai kerajaan dan sudah cuba menerangkan dasar kerajaan baharu sebagai mesra perniagaan serta terbuka.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan membentuk Dasar Anti-Rasuah dalam pentadbiran bagi membendung menteri Kabinet daripada terbabit rasuah.

“Kerajaan tidak mahu menteri terbabit korupsi (rasuah). Ketika mengadakan pilihan raya, kita (kerajaan) mengutip banyak wang dibiaya untuk pilihan raya, kita terima banyak derma dan dana.

“Sekarang, kita sudah menang, tiada lagi pilihan raya. Tiada individu atau parti yang boleh menerima derma daripada orang melainkan dengan keizinan atau dimaklumkan kepada Kabinet,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan juga bercadang mengehadkan pemberian hadiah kepada penjawat awam dalam bentuk makanan atau bunga, bukannya barangan bernilai.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan mengutamakan syarikat tempatan yang mahir pembangunan infrastruktur untuk melaksanakan projek pembangunan negara.

“Ramai rakyat Malaysia (syarikat tempatan) yang cekap dalam pembangunan, (jadi) kita boleh bina bandar kita sendiri dan keperluan rakyat. Kerajaan akan tentukan pengagihan projek kerajaan terbuka kepada syarikat tempatan.

“Kalau ada projek besar (mega), kalau tidak ada kepakaran, baru kita buat tender terbuka kepada syarikat luar negara. (Kalau) Pemilihan nampak ganjil (mencurigakan) kerajaan akan selidik menerusi penjawat awam yang akan menjalankan tugas menyelidik,” katanya.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan mengkaji prestasi ekonomi dan mengarahkan penyelidikan ketat terhadap jumlah hutang kerajaan dan wang dibelanjakan dalam pentadbiran dulu.

Susulan itu, katanya, kerajaan mencadang meminda undang-undang berkaitan dan cuba mengurangkan sebarang masalah ekonomi dalam negara.