Kerajaan Akan Bantu Pembinaan Akademi Telugu Malaysia – Najib

155
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak melancarkan penubuhan Akademi Telugu Malaysia di depan kira-kira 5,000 masyarakat kaum berkenaan pada Majlis Rumah Terbuka Telugu 2016 di Dataran Merdeka, di sini, sebentar tadi.

Perdana Menteri ketika berucap turut menyatakan komitmen kerajaan untuk membantu dari segi sokongan dan bantuan kewangan terhadap akademi yang akan dibina di Hulu Selangor itu.

Najib berkata, beliau begitu senang hati dengan perkembangan masyarakat Telugu lebih-lebih lagi sejak hadir di dalam satu majlis pada 2010 di mana majlis itu boleh dianggap sebagai titik perubahan apabila masyarakat itu mendapat pengiktirafan di Malaysia.

Katanya, dengan langkah yang telah beliau mulakan melalui sumbangan RM3 juta kepada Persatuan Telugu Malaysia (PTM), hari ini seramai 3,500 pelajar Telugu sudah mendapat manfaat daripadanya.

“Selain itu, persatuan juga akan menubuhkan Akademi Telugu Malaysia di Hulu Selangor.

“Saya juga akan membantu dari segi sokongan dan bantuan kewangan untuk akademi ini,” katanya.

Yang turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden Persatuan Telugu Malaysia, Datuk Dr Achaiah Kumar Rao.