Kerajaan Akan Ambil Tindakan Siar Berita Palsu 1MDB

36
0

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terus menyiarkan berita palsu terutamanya berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga menimbulkan fitnah.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Jailani Johari berkata sehubungan itu, kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini sedang memantau perkara berkenaan.

“Dalam usaha kerajaan menangani gejala fitnah dan berita palsu dalam negara, kita dapati beberapa isu turut disemarakkan oleh sumber-sumber dari luar negara.

“Terbaru, dalam usaha mencemar dan menjatuhkan kredibiliti Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kementerian telah mengenal pasti beberapa portal berita dalam talian yang telah menyemarakkan kembali isu 1MDB, susulan rampasan sebuah kapal layar mewah oleh pihak berkuasa negara tetangga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Negaraku: Menghubung Menyatu (CTU) peringkat negeri di Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda dekat Sik, Kedah hari ini.