Keputusan Tidak Rasmi: BN Mendahului PRK Parlimen Cameron Highlands

17
0

CAMERON HIGHLANDS: Keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands setakat jam 6.45 petang tadi menyaksikan calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Noor, mendahului dengan 5,111 undi.

Beliau memperoleh 10,942 undi, diikuti calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran dengan 5,804 undi manakala dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing hanya mendapat 286 dan 208 undi.

Keputusan tidak rasmi itu dipaparkan di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata, di sini sebentar tadi.

Pada PRK kali ini, seramai 32,009 orang layak mengundi termasuk 247 pengundi awal, 12 pengundi tidak hadir serta 385 pengundi kurang upaya.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Sivarraajh, pada PRU lalu yang berdepan saingan lima penjuru, menang di kerusi itu selepas memperoleh 10,307 undi, manakala Manogaran meraih 9,710 undi. Calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud memperoleh 3,587 undi, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), B Suresh Kumar (680 undi) dan calon Berjasa, Mohd Tahir Kassim (81 undi).

PRK ini adalah yang kelima selepas PRU Ke-14 dengan tiga pilihan raya sebelum ini membabitkan DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong di Selangor serta PRK Parlimen Port Dickson.