Keputusan Siapa Ketua Menteri Sabah Sah Petang Ini

31
0

Oleh : Wartawan MySuara

KUALA LUMPUR: Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi untuk mengetahui kuputusan mengenai siapa Ketua Menteri Sabah yang sah.

Keputusan itu bakal diumumkan oleh  Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Datuk Yew Jen Kie.

Jen Kie yang selesai mendengar hujahan lisan daripada pihak defendan dan plaintif berkaitan kes itu pada 25 Oktober lalu, dijadual mengumumkan keputusannya pada jam 2.30 petang ini.

Keputusan itu penting kerana ia bukan saja menentukan siapa Ketua Menteri yang sah, malah juga berkait rapat dengan kedudukan kerajaan negeri.

Pada Jun lepas, mantan  Ketua Menteri  Tan Sri Musa Aman, memfailkan saman dengan disokong afidavit terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkaitan isu pelantikan Ketua Menteri.

Saman itu bertujuan mendapat pengisytiharan bahawa Musa kekal Ketua Menteri yang sah mengikut undang-undang, selain mendakwa pengakuan sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri oleh Yang di-Pertua Negeri adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.