Keputusan Majlis Syura Tak Jejas Kerajaan Selangor – Wan Azizah

48
0

Keputusan Majlis Syura Ulama PAS membatalkan hubungan politik tahaluf siyasi dengan PKR tidak sama sekali menjejaskan kerajaan negeri Selangor, kata Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Perkembangan terbaru ini tidak sama sekali menjejaskan kerajaan negeri Selangor memandangkan kerajaan negeri hari ini mendapat mandat penuh rakyat negeri Selangor.

“Kerajaan negeri Selangor di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan terus berfungsi seperti biasa untuk fokus membangun negeri dan memakmur rakyat,” kata Wan Azizah dalam satu kenyataan.

Semalam, Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mengumumkan bahawa majlis itu menerima usul dibawa dalam muktamar parti itu baru-baru ini untuk membatalkan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR.

Nik Muhammad Zawawi berkata, keputusan itu dibuat dengan merujuk kepada begitu banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat tahaluf siyasi menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam.

Sehubungan itu, Wan Azizah berkata, PKR mengambil maklum keputusan majlis syura itu walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengekalkan muafakat politik demi memenuhi aspirasi rakyat.

“PKR tidak pernah mengkhianati prinsip tahaluf siyasi semenjak terbentuknya muafakat politik.

“PKR mendukung secara prinsip usaha pemerkasaan mahkamah syariah seperti yang ditegaskan oleh kenyataan media Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 April 2017 yang juga merupakan pendirian rasmi PKR,” tegasnya.

Sementara PKR berusaha secara muafakat dengan parti-parti politik untuk menawan Putrajaya, tegasnya, PKR juga komited dan tuntas mempertahankan kerajaan-kerajaan negeri iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

“Matlamat dan tindakan PKR dalam semua pilihanraya termasuk pilihanrya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah untuk menentang Umno dan BN,” tegasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula menyatakan kekesalan parti itu terhadap keputusan majlis syura itu  tetapi menolak tohmahan yang dibuat oleh badan tertinggi PAS itu.

“PKR menzahirkan kekesalan terhadap keputusan yang dibuat oleh badan tertinggi PAS iaitu Majlis Syura Ulama namun menghormatinya atas kebebasan PAS membuat suatu pendirian politik.

“Pada masa yang sama PKR menolak tohmahan bahawa PKR menentang agenda Islam, melanggar adab-adab berkerjasama dalam politik dan khianat dalam hubungan politik dengan PAS,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebaliknya, Saifuddin menegaskan bahawa PKR sentiasa konsisten berdasarkan rekodnya.

“Rekod PKR kekal sebagai sebuah parti pelbagai kaum, komited memperjuangkan agenda rakyat, membanteras rasuah dan penyelewengan, mendedahkan salah urus dan tatakelola pemerintah dan teguh memupuk dan memelihara kerjasama akrab dan solidariti sesama rakan-rakan pembangkang,” katanya.

Berikutan itu, katanya, pimpinan PKR akan segera berbincang dan mengambil pendirian terhadap keputusan Majlis Syura Ulama PAS itu. – MK