Kena Sahkan Dahulu Rakyat Malaysia Terlibat – KPN

148
0

KUALA LUMPUR: PDRM sedang menunggu laporan rasmi terlebih dahulu sama ada terdapat dua rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam serangan bom berani mati di Iraq dan Syria, yang mengakibatkan lebih 30 orang terkorban.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ia kerana, beliau beliau khuatir sekiranya terdapat pihak lain yang menggunakan identiti rakyat Malaysia di sana.

“Kita menunggu laporan rasmi dahulu, mereka katakan rakyat Malaysia tapi kita belum begitu pasti lagi, jadi kita perlu tunggu dulu laporan rasmi dengan butir-butir yang mereka kononnya warga Malaysia sebelum buat ulasan.

“Kita risau dan takut kalau ada pihak yang gunakan identiti rakyat Malaysia, biarkan kita sahkan dahulu kalau mereka itu warga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Semua Jabatan Peringkat di Bukit Aman pagi tadi.

Semalam, menurut satu laporan, dua rakyat Malaysia meletupkan diri mereka sendiri, menyebabkan lebih 30 orang di Syria dan Iraq maut minggu lepas.

Mohd Amirul Ahmad Rahim, 26, yang berasal dari Terengganu, dilaporkan meletupkan bom yang berada padanya dalam sebuah kereta semasa pertempuran di kubu kumpulan pengganas Islamic State (IS) di Raqqa, Syria, pada 29 Disember, menurut laporan itu.

Mohamad Syazwan Mohd Salim, 31, yang dilaporkan melaksanakan misi pada malam 3 Januari, ialah seorang daripada tujuh pengebom berani mati yang menyusup ke pusat latihan polis di pangkalan tentera Speicher, kira-kira 160km ke utara Baghdad, Iraq.

Sementara itu, Khalid mengakui terdapat rakyat Malaysia yang telah meletupkan diri mereka sebelum ini, bagaimanapun beliau berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan rasmi untuk kes yang terbaru itu.

“Tapi kita tahu terdapat rakyat Malaysia di sana dan kita dimaklumkan bahawa sebelum ini ada warga kita yang terlibat sebagai pengebom berani mati, terkorban dalam tindakan mereka meletupkan diri mereka, memang ada tapi yang baru ini kita tunggu dulu keputusan rasmi,” katanya.