Kementerian Kewangan Akan Kaji Cadangan Noh Omar

63
0
KONGSI

PETALING JAYA: Kementerian Kewangan terlebih dahulu perlu mengkaji rancangan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membenarkan pemaju menyediakan pinjaman perumahan, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

“Kami perlu mengkajinya (cadangan itu).

“Saya membacanya di akhbar, dan tidak dapat mengulas lanjut,” kata Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah semalam, lapor Bernama.

Berkuatkuasa semalam, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata pemaju boleh memohon kepada kerajaan supaya mereka boleh menawarkan pinjaman perumahan sehingga 100% kepada pembeli, termasuk pembeli rumah kedua dan permohonan mereka yang ditolak.

Menurut beliau, kadar faedah untuk pinjaman melalui skim ini tidak boleh melebihi 12% untuk pinjaman bercagar dan 18% jika tanpa cagaran, manakala kumpulan sasaran pembiayaan diserahkan kepada budi bicara pemaju.

Hari ini, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata keputusan kerajaan itu jika disingkap mendedahkan sikap tidak mengambil hirau harga rumah yang dipacu pemaju terbesar adalah diluar kemampuan rakyat.

Malah, Ahli Parlimen Pandan itu meramalkan lebih banyak projek perumahan diluar kemampuan rakyat akan dibangunkan dengan alasan pembeli kini boleh meminjam 100%, pada kadar faedah yang ditawarkan kegiatan Ah Long.

Sementara itu, Kementerian Kewangan sedang berunding dengan empat bank utama bagi membantu kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah mampu milik melalui kaedah Perumahan Rakyat 1Malaysia (Pr1ma).

Irwan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan langkah ‘menarik’ berhubung perkara itu dalam Belanjawan 2017 nanti.

Belanjawan 2017 akan diumumkan di Parlimen pada 21 Oktober.