Kem Tentera Darat ESSCOM Beroperasi 2017

690
0
KONGSI
KLUANG: Pembangunan kem tentera darat Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang dirancang di FELDA Sahabat, Lahad Datu, Sabah, kini dalam peringkat akhir pembinaan dan dijangka beroperasi sepenuhnya awal tahun depan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, berkata pembangunan kem itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tahun lalu ketika membentangkan Bajet 2016.

Katanya, sebuah briged baharu akan ditubuhkan menerusi kem berkenaan.

“Ia bakal dilengkapi sebuah pasukan batalion infrantri dan pasukan bantuan khidmat dan tempur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perbarisan lawatan ulung beliau sempena Hari Ulang Tahun Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) ke-21 di Kem Mahkota, hari ini.

Bagaimanapun, Raja Mohamed Affandi berkata, pihaknya belum memutuskan nama bagi briged baharu itu.

Turut hadir pada majlis itu, Tunku Temenggong Johor, Mejar Tunku Idris Sultan Ibrahim; Ketua Staf Markas TD, Mejar Jeneral Datuk Shahrani Mohd Sany; Panglima 7 Briged, Brig Jen Mohd Hassan Loman serta Pengarah PUTD, Kol Suhaimi Hussain.