Kedudukan Husam Dalam PAS Ditentukan Hari Ini

142
0

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hari ini akan menentukan sama ada parti itu akan memecat atau tidak bekas naib presidennya, Datuk Husam Musa.

Ini berikutan tindakan Husam yang sentiasa mengkritik pucuk pimpinan PAS terutama dalam rancangan berbaik-baik dengan musuh tegar parti Islam itu selama ini, iaitu Umno.

“Ada tauke balak dari Rantau Panjang beritahu, saya akan dipecat esok.

“Saya nak kata, tak payah pecatlah. Tok sah berlorat pecatlah… nanti orang kata tauke balak kuasai PAS pula,” kata Husam ketika berucap dalam satu ceramah di Pengkalan Chepa, Kelantan malam tadi.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan sebelum ini mengatakan tindakan boleh diambil terhadap Husam termasuk dipecat daripada parti itu.

“Husam boleh dikenakan hukuman tatatertib sama ada dilucutkan jawatan dalam parti, digantung keanggotaan mahupun dipecat daripada parti,” katanya sebagaimana dilaporkan Bernama.

Menurut Husam, teguran yang dibuatnya kepada pucuk pimpinan PAS tidak salah kerana ia dibenarkan dalam Islam.

“Parti boleh dikritik dan amalan menegur terbuka ini tak salah.

“Lainlah kalau teguran itu tidak betul,” kata Husam mempertahankan tindakannya menegur pucuk pimpinan PAS.

Dalam ceramahnya malam tadi Husam terus mengkritik pucuk pimpinan PAS termasuk Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

“Ini dia pakai kereta macam-macam ni, duit ambil dari mana.

“Saya dulu pun exco juga dulu tetapi tak mampu,” kata Husam yang berceramah di kampung Nik Amar yang juga naib presiden PAS itu. – INSIDER