Ke Mana Anda Dibawa Oleh PH?

513
0

Oleh: AZMAN HUSSIN

ANDA sudah tahu, DAP yang menguasai Pakatan Harapan.

Walaupun DAP mempunyai kerusi parlimen yang paling sedikit, ia tetap penting apabila parti-parti bergantung pada mereka. Dan apatah lagi jika DAP mempunyai kerusi parlimen yang terbanyak dalam pakatan politik mereka seperti hari ini.

Tak faham lagi?

Anda lihat sendiri apa haluan perjuangan pembangkang hari ini. Apabila DAP menyentuh hal-hal agama Islam dan Melayu secara biadap, adakah anda nampak pemimpin-pemimpin Melayu PH memberikan komen.

Tidak, bukan?

Bahkan, merekalah yang bertoleransi dan mempertahankan pemimpin DAP tersebut dengan memutar-belitkan hujah agama.

Jadi, anda patut tahu DAP yang mendominasi PH jika dilihat kepada contoh di atas.

Penjelasan mudahnya: jika anda tidak berani berkata kebenaran kepada puak yang berkata bathil, maka ia bermakna anda tidak ada kuasa.

Ada banyak lagi contoh-contoh lain untuk membuktikan betapa kuatnya dominasi DAP dalam PH. Tetapi, sebaliknya jika contoh ini pun anda tidak nampak, tidak ada gunanya ditunjukkan contoh-contoh yang lain.

Anda tahu apa agenda DAP? Malaysian Malaysia. Anda tahu apa?

Semua rakyat adalah sama. Maksudnya yang mudah, tidak ada lagi hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu.

Apa bangsa anda? Melayu, bukan? Apabila tuan rumah tidak ada bezanya dengan tetamu, apa yang boleh anda gambarkan dengan situasi ini?

Ya, anda ada MCA yang boleh anda salahkan di pihak Barisan Nasional.

Apabila timbul isu MCA, anda pun tahu apa perbezaan MCA dan DAP. MCA sebuah parti bangsa Cina. Ia berjuang untuk bangsa Cina sebagaimana UMNO berjuang untuk bangsa Melayu. Itu tidak penting. Yang lebih penting, adakah MCA yang menentukan hala tuju Barisan Nasional sebagaimana DAP yang mengawal Pakatan Harapan?

Anda tahu jawapannya.

Kemudian anda ada PAS untuk dipilih jika PH itu terlalu buruk.

Bagaimana dengan PAS?

Anda pun tahu mengundi PAS tidak membawa anda ke mana-mana, melainkan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang sedia ada. Jika PAS menang, mereka tidak boleh membentuk kerajaan sendirian. Dan jika PAS menang, bermakna UMNO kalah, kerana mereka bertanding di kerusi yang sama.

Apabila UMNO kalah, Barisan Nasional akan kalah.

Jadi, apabila UMNO kalah, tentulah Pakatan Harapan yang akan menang.

Kemenangan Pakatan Harapan adalah kemenangan DAP.

Jika ini yang dimahukan PAS, mereka sepatutnya tidak keluar daripada Pakatan Harapan. Mereka patut kekal bersama pakatan pembangkang untuk mencapai matlamat menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional. Tetapi, mereka tidak dapat menerima DAP.

PAS menolak DAP, tetapi jika anda memilih PAS, adalah sama seperti anda menerima DAP.

Dan jika ini berlaku, ia bermakna naiklah PH yang diketuai DAP. Pusing atau putar belit macam mana pun, kesimpulannya DAP yang menentukan kerajaan baru itu.

Jadi, apa yang membuat anda keliru lagi?

Anda ada alasan lain lagi?

Adakah anda fikir jika DAP mengawal kerajaan, ia bukan suatu masalah?

Jika anda berfikir begitu, anda silap. Anda telah menjadi mangsa politik, dan bukannya menggunakan politik untuk kebaikan anda. Politik sepatutnya digunakan untuk mempertahankan agama, bangsa dan tanahair anda.

Baiklah, berbalik kepada persoalan asal, iaitu anda menentang kerajaan kerana anda mendakwa kerajaan korup.

Jangan buta dengan sesuatu hujah dan melupakan sudut-sudut yang lain. Jika benar sekali pun kerajaan korup, anda patut memikirkan perkara-perkara yang selanjutnya.

Korup kerajaan adalah dari sudut keduniaan, misalnya penyelewengan wang rakyat seperti dakwaan pembangkang (jangan lupa ini hanya tuduhan pembangkang yang tidak semestinya benar).

Bagaimana pula dengan persoalan DAP?

Ia melibatkan agama dan bangsa anda. Sudah jelas siapa itu DAP dengan Malaysian Malaysianya. DAP adalah sebuah parti sekular, liberal dan plural. Ia bukan parti orang-orang Cina semata-mata. Agenda DAP adalah meliberalkan negara ini. Cita-cita masa hadapan DAP adalah sebuah negara sekular sepenuhnya, yang menghalalkan semuanya, termasuk LGBT, seks bebas, murtad, semua agama sama (ingat isu kalimah Allah), bahkan mereka mungkin akan berusaha menghapuskan raja-raja Melayu.

Semua ini jelas apabila disemak kenyataan-kenyataan pemimpin DAP. Dan anda lihat pula siapakah yang bersekongkol dengan mereka?

Manakah yang patut diutamakan?

Kebijaksanaan berpolitik mengikut keadaan adalah perlu, iaitu anda tahu meletakkan keutamaan. Anda katakan kerajaan tidak menjaga hak-hak anda sebagai orang Melayu, adakah anda mahu mengharapkan orang-orang bukan Islam mempertahankan hak anda, sedangkan mereka jelas mahu menyamaratakan semua bangsa?

Sekiranya anda sanggup menukar kerajaan kerana perkara seperti ini, ia sama seperti anda menggadai agama untuk keduniaan anda. Anda tidak sanggup hidup susah (kononnya kerajaan menindas anda), lalu anda membiarkan negara anda diperintah oleh orang-orang bukan Islam, asalkan anda tidak ditindas.

Ingatlah Dajjal pun menjanjikan syurga kepada umat manusia, asalkan anda menggadai pegangan agama anda.

Masa ini bukan untuk anda melakukan perubahan ke arah yang lebih baik, masa ini untuk anda mengelak keburukan yang lebih besar. Berpolitiklah dengan bijaksana mengikut keadaan yang perlu dipentingkan ketika itu.

Apa-apapun keadaan, apa yang perlu diutamakan perlulah diutamakan, bukannya tenggelam dalam isu-isu yang tidak pasti.

Kegilaan berpolitik tidak sepatutnya membuatkan anda hilang punca dan dicatur untuk agenda yang anda sendiri tidak tahu.

Musuh akan mengambil kesempatan atas keburukan dan kelemahan yang sedia ada.

Mereka bukannya berniat membawa anda ke arah yang lebih baik, sebaliknya mereka mengeksploitasi semua itu untuk mencapai agenda mereka. Mereka akan menangguk di air keruh.

Keburukan yang dibawa oleh mereka lebih memudaratkan lagi berbanding keadaan yang sedia ada jika anda mahu berfikir.

Dalam pengertian yang mudah, DAP yang mengetuai PH secara tidak rasmi, bukannya mahu menyelamatkan negara ini. Mereka sebenarnya mahu merombak seluruh negara ini menjadi sebuah negara sekular seperti yang dinyatakan tadi. Segala isu yang dibangkitkan mereka selama ini adalah kaedah mereka mengelirukan orang ramai supaya kita tidak melihat apa agenda sebenar yang mahu dibawa oleh mereka.