Kawalan Pintu Masuk Negara Diperketat – Liow

158
0
KONGSI

IPOH: Malaysia meningkatkan kawalan keselamatan di pintu masuk negara terutamanya lapangan terbang susulan serangan bom yang berlaku di Brussels, Belgium, Selasa lepas.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, alatan seperti mesin pengimbas dan kamera litar tertutup (CCTV) telah ditambah dikebanyakan lapangan terbang bagi memastikan keadaan dipantau dari semasa ke semasa.

“Memang kita sudah tingkatkan keselamatan di semua airport khususnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lapangan terbang antarabangsa yang lain.

“Namun pada ketika ini, kita dapati negara dalam keadaan baik dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerja di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), petang semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Tiong Lai berkata, kawalan keselamatan tidak hanya tertumpu kepada lapangan terbang sebaliknya semua kawasan yang dilihat berpotensi untuk pengganas melakukan serangan.

“Kita juga pantau beberapa tempat termasuk KL Sentral yang menjadi lokasi orang ramai berkumpul dan bergerak dari satu tempat ke satu tempat lain,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut mendapat kerjasama baik daripada pihak berkuasa luar dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang melibatkan serangan pengganas.

“Kita bukan sahaja bekerjasama dengan pihak keselamatan dari Eropah malah kita juga mendapat bantuan daripada negara serantau,” katanya.

Sebelum ini, media tempatan di Belgium melaporkan dua letupan berlaku di dewan berlepas Lapangan Terbang Brussels dan satu letupan di stesen subway metro.

Difahamkan, letupan yang berlaku telah mengakibatkan 34 orang terbunuh.