Kalau UMNO Sebuah Kereta…

716
0

Oleh: AZMAN HUSSIN

ADA seseorang membuat sebuah analogi. Katanya UMNO sudah perlu ditukar. Jika ia sejenis benda, ia benda yang sudah tidak boleh digunakan lagi. Sudah rosak teruk dan tidak dapat dibaikpulih lagi, kata mereka.

Mari kita misalkan benda itu adalah sebuah kereta.

Dan sebelum kita pergi lebih jauh, saya ingatkan analogi ini tidaklah sepenuhnya benar. Dalam sesetengah konteks, ia adalah tepat untuk menggambarkan keadaan politik hari ini.

Ya, dakwa mereka kereta itu sudah tidak boleh digunakan, sekali pun ditukar enjin dan dicat baru.

Bagaimana mahu membuat penilaian analogi ini?

Sebelum membuat pertukaran besar itu, sepatutnya ada sekurang-kurangnya tiga soalan perlu difikirkan,

Pertama, benarkah kereta itu sudah rosak?

Ya, benarkah UMNO sudah rosak?

Faktanya, UMNO telah mengalami pertukaran pemimpinnya sejak dahulu. Ia sentiasa diperbaharui. Jika ia sebuah kereta, banyak alat-alatannya yang rosak dan haus sudah ditukar ganti. Maksudnya, ia sentiasa diselenggara dengan baik sehingga masih bertahan ke hari ini. Paling kurang, sudah tujuh buah engin baru dipasang pada kereta itu.

Bermakna tujuh orang Presiden sudah bertukar dalam UMNO.

Apakah sebab anda berfikir kereta anda itu rosak?

Saya fikir UMNO tidak mengalami kerosakan yang teruk. Engin boleh ditukar, dan ia memang sudah ditukar tujuh kali. Yang tidak dapat diperbaiki, sekiranya besi kerangka asasnya (casis) berkarat dan mereput. Yang penting adalah casis kereta tersebut. Ia adalah tonggak seperti tiang dalam sesebuah binaan kereta.

Kerangka asas UMNO adalah Melayu dan Islam. Hari ini UMNO masih lagi sebuah parti yang memperjuangkan nasib dan masa Melayu dan Islam di negara ini. Casisnya masih teguh, iaitu Melayu dan Islam sebagai tonggak. Ia tetap teguh sebegitu. Mereka masih melaungkan Melayu dan Islam. ini kenyataan.

Casisnya tidak seburuk yang diperkatakan.

Jika ia benar-benar rosak, ada lagi soalan, apakah ia tidak dapat diperbaiki. Dan jika ia tidak dapat diperbaiki, ada lagi soalan lagi, apakah kereta baru itu lebih baik.

Cuba fikirkan, mungkin kereta anda tidak rosak sebagaimana yang diperkatakan ramai orang.

Katakanlah, anda masih berkeras menyatakan kereta anda sudah tidak dapat digunakan lagi, adakah kereta baru yang ingin anda beli itu lebih baik?

Secara retorik, tentu semua orang akan menjawab kereta baru mestilah lebih baik.

Jarang kemungkinan terjadi kereta baru mengalami kerosakan. Fakta ini adalah benar jika kereta itu benar-benar sebuah kereta baru.

Malangnya dalam konteks politik hari ini, kereta baru itu juga adalah kereta lama. Kereta terpakai, yang sebahagian komponen-komponennya pula adalah daripada kereta lama anda.

Ya, anda lihat saingan UMNO seperti PKR, PPBM atau PAN. Pemimpin-pemimpin mereka sebahagiannya adalah daripada pecahan UMNO. Ambil contoh Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri, dari manakah mereka berasal. Maknanya, ia bukanlah baru seperti diperkatakan.

Dan kerangka binaan kereta baru itu pula bagaimana?

Apakah asas kerangka kereta baru tersebut?

Parti pembangkang, DAP yang mengetuai mereka secara tidak rasmi, berteraskan apa yang kontradiksi dengan perjuangan UMNO, iaitu fahaman sekular, liberal dan plural.

Contohnya mereka tidak kisah dengan murtad, undang-undang Islam, LGBT, seks bebas dan sebagainya. Bahkan mereka cenderung ke arah menghapuskan sistem monarki di negara ini.

Anda harus faham, sebaik-baik mana pun pemimpin-pemimpin pembangkang, ia tetaplah berlawanan dengan Melayu dan Islam yang diangkat oleh UMNO. Adakah anda mengharapkan mereka akan membela anda?

Tentulah tidak logik kerana perjuangan mereka bertentangan dengan Melayu dan Islam. UMNO menegakkan Melayu dan Islam, sedangkan pakatan pembangkang mahu menghapuskannya atas dasar kebebasan dan keadilan untuk semua rakyat.

Seburuk-buruk UMNO, selagi kerangkanya masih kukuh, iaitu Melayu dan Islam, ia haruslah dipertahankan. Kerosakan-kerosakannya hanyalah perlu diperbaiki, dan proses pembaikiannya pula selalu berjalan. Itulah yang sepatutnya difikirkan oleh warganegara yang waras.

Jika anda mendakwa UMNO yang asasnya Melayu dan Islam pun tidak dapat mempertahankan nasib anda, bagaimanakah pula anda mahu mengharapkan golongan yang tidak menjadikan Melayu dan Islam sebagai agenda mereka?

Mari tengok pula soalan yang ketiga. Sepatutnya ia adalah soalan yang pertama.

Sebenarnya, siapa yang mengatakan kereta anda itu rosak?

Ya, dalam konteks politik hari ini, yang menyatakan UMNO itu rosak dan perlu ditukar adalah lawan politik mereka yang mempunyai kepentingan dan agenda masing-masing.

Secara mudahnya, anda tentu dapat mengagak bahawa mereka menyatakan kereta anda itu sudah rosak hanya kerana mereka mahu menjual kereta baru kepada anda.

Yang ironinya, kereta baru yang mereka mahu jualkan itu adalah kereta terpakai yang mungkin hanya dicat baru.

Jika anda lihat tokoh-tokoh pembangkang hari ini, anda akan lihat imej kereta-kereta terpakai itu. Anda perhatikan kesan-kesan “ketuaan” kereta tersebut yang pernah mengalami kemalangan kecil mahu pun yang besar.

Sebagai contoh, kemalangan yang dialami Tun Dr Mahathir yang terlibat dengan pelbagai dakwaan skandal melibatkan wang negara sebanyak berbilion-bilion.

Jadi, apabila ada orang menyatakan anda perlu menukar kerajaan dan orang yang menyatakannya itu juga adalah ahli politik yang berlawanan, anda seharusnya memerhatikan tipu muslihat ini.

Ia adalah sama seperti seorang jurujual yang berkata kereta anda sudah buruk dan tidak dapat diperbaiki lagi, sedangkan kereta yang ditawarkannya adalah sebuah kereta yang juga buruk.

Seharusnya anda tahu perkataan jurujual itu tidak semestinya benar kerana dia mempunyai kepentingan dalam soal ini, iaitu dia mahu menjual keretanya. Perkara ini jelas kerana dia bukan seorang mekanik.

Jadi, apabila ahli-ahli politik pembangkang mendakwa kerajaan Barisan Nasional hari ini perlu ditukar dengan alasan ia sudah rosak dan tidak dapat diperbaiki lagi, anda sepatutnya dapat membaca kelakuan mereka adalah seperti seorang jurujual yang menghasut anda agar menukar kereta lama anda dengan membeli kereta baru, dan kereta yang baru itu pula adalah kereta terpakai walaupun ia kelihatan masih baru dan berkilat.

Melakukan pertukaran seperti itu tidaklah salah, tetapi adakah kehidupan anda akan terjamin dengan kerangka politik pakatan parti seperti itu?

Adakah nasib agama, bangsa dan tanahair anda akan selamat di bawah pakatan parti pembangkang tersebut, sedangkan anda sendiri mengetahui agenda dan prinsip-prinsip perjuangan mereka bagaimana?

Fikirkan, jika anda mahu menganologikan UMNO sebagai sebuah kereta buruk.

Jangan hanya kerana semata-mata mahu membuat pertukaran, anda tersalah pertimbangan.

Dalam bandingan yang mudah, adakah orang-orang Melayu akan lebih selamat berada dalam kerangka parti politik yang dibawa oleh pembangkang?

Akhirnya, berbalik kepada anda, tanyalah pada diri anda sendiri, apakah kerajaan hari ini benar-benar teruk sebagaimana yang didakwa oleh pembangkang bahawa UMNO adalah sebuah kereta yang buruk?

Jangan hanya mendengar cakap-cakap orang yang tidak berasas, yang sekadar mahu mengadu-domba atas kepentingan diri mereka.