Kajian Tren Malaysia Untuk Pastikan Manfaat – Tun M

4
0

TOKYO: Usaha kerajaan Malaysia mendapatkan kerjasama JR Kyushu Railway Company bagi meneliti masalah pengangkutan tren di Malaysia adalah untuk memastikan perkhidmatan itu memberikan manfaat sepenuhnya kepada negara dan pengguna, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, Malaysia meminta kerjasama syarikat Jepun itu untuk membuat kajian berkenaan supaya peranan dan manfaat operasi perkhidmatan tren dapat dipertingkatkan termasuk dalam hal membabitkan penghantaran kargo.

“Sekarang ini perkhidmatan tren kita hampir siap sepenuhnya…dah siap semua landasan berkembar dan berkuasa elektrik. Bagaimanapun penggunaannya hanya 30 peratus sahaja dan ada 70 peratus potensi tren yang tidak diguna,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia di sini hari ini, iaitu hari terakhir lawatan kerja tiga harinya ke Jepun.

Dr Mahathir berkata, di Malaysia, banyak kontena besar dibawa melalui jalan darat yang menyebabkan ia menjadi tidak cekap dan mengganggu perjalanan kerana saiznya yang besar.

“Kena guna tren untuk pengangkutan kontena dan barangan besar. Tren kita sudah menggunakan kuasa elektrik tapi tak boleh bawa kontena. Di Jepun ada sistem untuk tren menggerakkan perdagangan,” katanya.

Perkara berkaitan kajian JR Kyushu Railway itu adalah antara perkara yang dibincangkan sewaktu pertemuan Dr Mahathir dan rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe di sini semalam.

Abe dilaporkan sebagai berkata sekumpulan pakar daripada syarikat rel Jepun itu akan ke Malaysia pada akhir bulan ini bagi meneliti objektif berkaitan, dan ia penting kerana rangkaian pengangkutan yang komprehensif sememangnya diperlukan, terutama membabitkan pengangkutan penumpang serta kargo.

Dr Mahathir berkata, Jepun mempunyai banyak pengalaman dalam perkhidmatan tren malah dulu perkhidmatan tren adalah milik kerajaan negara itu dan selalu mengalami kerugian.

“Maka mereka menswastakan perkhidmatan itu bukan kepada satu syarikat tetapi beberapa syarikat. Mereka menguntungkan terutama JR Kyushu. Sebab itu kita pergi ke Kyushu berjumpa pihak pengurusan syarikat tren untuk tahu bagaimana mereka berjaya,” katanya.