Kajian Mendapati BN Berpotensi Menang Di Lembah Pantai

25
0

KUALA LUMPUR: Sebanyak 70.1 peratus responden bersetuju hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh membina masa depan kawasan Parlimen Lembah Pantai.

Kajian itu didedahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memberitahu, penyelidikan dibuat oleh sebuah universiti tempatan.

Katanya, kajian dilakukan terhadap pengundi pelbagai kaum dan sebanyak 74.5 peratus responden mengakui hanya BN sudah membantu dan memberi perkhidmatan kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Sebanyak 58.9 peratus responden pula mahu berubah angin dengan memberikan sokongan kepada calon BN pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) di Lembah Pantai dan 75.3 peratus responden berkata janji-janji yang dibuat ‘orang’ yang mewakili Lembah Pantai tidak ditunaikan,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata jika kepercayaan dan sokongan terus diberikan kepada calon BN di kawasan itu, lebih banyak kemudahan dan keselesaan yang akan dinikmati penduduk.

“Dengan memberikan sokongan kepada calon BN, mudah-mudahan lebih banyak lagi kemudahan yang akan diberikan. Ini bukan kali terakhir saya datang, saya akan datang lagi untuk memantau kebajikan anak-anak buah saya di Lembah Pantai,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, kerajaan BN tidak pernah mengingkari janji dalam apa jua yang dilafazkan sebaliknya, akan menunaikan janji itu malah, ada yang ditambah meskipun tidak ada dalam janji yang dibuat.