John Malone Beli Hak Formula One (F1) AS$4.4 Bilion

69
0

WASHINGTON: Jutawan komunikasi Amerika Syarikat, John Malone menerusi syarikat Liberty Media hari ini mengumumkan pihaknya berjaya mengikat perjanjian untuk membeli perniagaan perlumbaan Formula Satu pada harga AS$4.4 bilion (RM17.6 bilion).

Liberty berkata, pihaknya akan mengekalkan Bernie Ecclestone, yang sekian lama mengawal selia kumpulan perlumbaan itu sebagai ketua eksekutif, tetapi turut menamakan Naib Presiden 21st Century Fox, Chase Carey sebagai pengerusi baharu.

F1 mempunyai ratusan juta pengikut di seluruh dunia, dan Carey berkata, dia melihat peluang untuk membangunkannya. Menurut Liberty, mereka sudah membeli 18.7 peratus saham F1 pada harga AS$746 juta (RM3.02 bilion) dan akan melengkapkan pembelian menjelang Mac tahun depan.

Pemegang saham terbesar F1, CVC Capital Partners dan pelabur lain masih memiliki 65 peratus saham Kumpulan Formula Satu. Tetapi CVC, yang mula melabur dalam F1 pada tahun 2005, menyerahkan kawalan sukan berkenaan kepada Liberty yang menilaikan F1 pada harga AS$8 bilion (RM32.44 bilion) termasuk hutang.

Malone turut memiliki pasukan besbol Major League, Atlanta Braves dan memiliki syarikat radio Sirius XM, syarikat telekomunikasi Eropah Liberty Global, syarikat kabel AS Charter serta beberapa syarikat televisyen kabel.

“Banyak perkara baru yang akan dilaksanakan, menjadikannya lebih baik lagi,” kata Ecclestone, 85. “Saya gembira mereka masuk dan melakukan sesuatu (untuk sukan ini).” – Agensi