Joe Biden Tolak Tanding Jawatan Presiden

35
0
KONGSI

WASHINGTON D.C.: Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan beliau tidak akan bertanding jawatan Presiden bagi Demokrat dalam proses demokrasi itu tahun depan.

Kenyataan Biden yang dibuat di Rose Garden, White House itu menamatkan teki-teki selama beberapa bulan berhubung adakah beliau akan turut sama bersaing menduduki White House dengan calon pilihan bagi Parti Demokrat, Hillary Clinton.

Pada lapis lain, kenyataan terbuka Biden, yang juga bekas Senator Delaware itu dilihat sebagai landasan membuka jalan kepada penamat kerjaya politik beliau sejak beberapa dekad lalu.

Tetapi ada sesetengah pihak melihat bahawa keputusan itu dipacu oleh kecemerlangan prestasi Hillary sejak beberapa bulan lalu dalam menggerakkan usahanya menduduki White House menggantikan Barack Obama.

” Selepas tiga bulan lamanya memikirkan mengenainya, walaupun keluarga saya boleh menerima kemungkinan jika saya bertanding lagi, saya tetap merasakan, masa kini sangat terbatas untuk saya, maka saya enggan menjadi calon,” katanya semasa menjelaskan sebab tidak bertanding jawatan Presiden AS.

Biden sebelum ini berdepan dugaan apabila kehilangan anak lelakinya, Beau Biden, Mei lalu akibat barah otak. Sebelum itu, pada 1972, Biden turut diuji tragedi keluarga apabila bayi perempuannya serta isteri pertamanya meninggal dunia.

Sementara itu, Biden berkata, walaupun tidak bertanding, beliau tidak akan berdiam diri dalam memperkatakan beberapa isu berbangkit.

“Ya, memang benar, saya tidak turut sama bertanding kali ini, tetapi saya janji tidak akan membisu untukĀ  memperjuangkan isu-isu penting khususnya yang menjadi legasi Obama.

“Adalah menjadi satu kesalahan seandainya calon itu menikam belakang perjuangan dan legasi Obama,” kata beliau.

Demokrat kini mencari calon alternatif bagi menggandingkan seorang lagi individu sebagai regu calon Presiden AS. Sehingga kini, hanya Hillary, yang juga bekas Wanita Pertama AS mengesahkan bertanding jawatan Presiden untuk parti itu.

Selepas Biden membuat keputusan tidak bertanding, platform media sosial dibanjiri ucapan selamat dan tahniah sama ada kepadanya dan juga Clinton.

Calon Presiden AS bagi Republikan, Donald Trump dalam satu status di Twetter menyifatkan keputusan Biden itu sebagai sesuatu yang bijak memandangkan beliau mengutamakan keluarga dan bukannya kerjaya.

Kata Trump lagi, beliau rela bertanding dengan Hillary, dan bukannya Biden memandangkan rekod buruk dipegang bekas Wanita Pertama AS itu.

Biden, memulakan pentas politik menerusi jawatan Senator pada 1988. Beliau pernah bertanding untuk jawatan Presiden pada 2008.