Jenazah Adnan Abu Hassan Selamat Dikebumikan

356
0
KONGSI

KAJANG: Jenazah komposer Datuk Adnan Abu Hassan selamat dikebumikan kira-kira pukul 9.50 pagi di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal di sini pada Jumaat.

Allahyarham sebelum itu dibawa ke Masjid Al-Falah di sini pada pukul 6 pagi selepas dimandikan dan dikafankan di Hospital Selayang dekat sini.

Antara artis yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada arwah adalah Datuk Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Misha Omar, Hasnol dan Nora.

Terdahulu, Adnan, 57, meninggal dunia kira-kira pukul 2.15 pagi Jumaat akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuklah buah pinggang dan serangan angin ahmar.

Beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang, pada pukul 2 pagi Khamis.

Adnan meninggalkan seorang balu iaitu Rozinor Hafiza Mohd Fauzi, 38, dan tiga orang anak Aiman Zamer, 20, Aina Zamira, 17, dan Adrian Zahir, 15, tahun hasil perkahwinan pertamanya dengan Siti Hajar Long.

Bagaimanapun perkahwinan keduanya sejak 2009 tidak mempunyai cahaya mata.

Dalam kerjaya seninya, Allahyarham banyak menghasilkan lagu artis-artis tempatan khususnya menaikkan nama Datuk Siti Nurhaliza dengan lagunyaJerat Percintaan.

Sumbangan besarnya dalam kerjaya seni turut membolehkan beliau diberikan penghargaan berupa Anugerah Wirama dalam Anugerah Industri Muzik ke 17 pada tahun 2010.