Jangan Leka, Ulangi Kesilapan – Anwar

12
0

GEMAS: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menasihati pemimpin PKR supaya tidak leka dan mengulangi kesilapan pemimpin parti kerajaan terdahulu.

Katanya, pemimpin PKR perlu sentiasa diingatkan supaya tidak membazir dan berbelanja berlebih-lebihan selain mengelakkan diri menjadi sombong apabila memegang kuasa.

“Kita perlu ingatkan, jangan berebut tak tentu hala. Mentang-mentang nampak rezeki baharu, bukan main lagi. Kita jangan jadi macam tu.

“Orang melihat, Allah melihat. Kita sudah melalui zaman sukar sebelum berjaya membentuk kerajaan. Rakyat mengharapkan kita untuk membela nasib mereka,” katanya pada program Agenda Malaysia Baharu di FELDA Jelai 4 di sini, malam ini.

Turut hadir, Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, yang juga Menteri Besar.

Mengulas mengenai pemilihan parti, Anwar menasihatkan calon bertanding supaya jangan menjadi seperti UMNO yang didakwa banyak dikaitkan dengan politik kotor termasuk menggunakan wang dan ugutan.

“Ahli perlu pilih pemimpin yang setia, ada nilai perjuangan, tidak khianat, tidak cenderung kepada kekayaan dan rasuah. Pemimpin seperti itu dapat menyelamatkan dan mempertahankan kekuatan parti,” katanya.

Mengenai FELDA, Anwar berkata, kegemilangan agensi itu akan dikembalikan walaupun terpaksa mengambil masa lama untuk menyelesaikan masalah yang berpunca daripada kegagalan pentadbiran terdahulu.

“Kita berjanji akan kembalikan hak peneroka dan betulkan semua sistem,” katanya.