Jangan Ambil Sikap Sambil Lewa Program PATI – Nur Jazlan

80
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Majikan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) diingatkan supaya tidak mengambil sikap sambil lewa atau tunggu dan lihat untuk mendaftar menerusi Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata mereka sepatutnya segera mengguna peluang itu dan bukannya menunggu saat akhir untuk berbuat demikian.

“Kita pernah melakukan program sama sebelum ini dan sekarang kita melaksanakannya sekali lagi bagi memberi peluang kepada majikan mendaftarkan pekerja mereka supaya PATI boleh mendapat permit kerja yang sah.

“Jangan tunggu saat-saat akhir kerana jika majikan dikesan menggunakan pekerja asing tidak sah, mereka boleh dikenakan denda dan ini akan merugikan mereka,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata Jabatan Imigresen giat melaksanakan operasi secara bersepadu bagi mengesan PATI di seluruh negara dan tindakan tegas akan dikenakan kepada majikan yang melindungi atau menggaji mereka.

Nur Jazlan berkata program itu yang turut dikenali sebagai Program ‘Rehiring’ bermula pada 15 Februari lepas dengan 8,689 permohonan daripada 1,144 majikan diterima sehingga semalam.

“Masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan program ini yang dilaksanakan menerusi dalam talian dan semua pihak khususnya majikan perlu bersama dengan kerajaan untuk menjayakannya,” katanya sambil menyangkal dakwaan kononnya program itu kurang mendapat sambutan daripada majikan.

“Ada pihak yang cakap program ini kurang berjaya dan tidak mendapat sambutan daripada majikan, tetapi saya ingin tanya kepada mereka apakah fakta yang mereka gunakan untuk membuat kenyataan sedemikian.

“Program ini masih awal, kita berharap mereka yang cakap program ini tidak mendapat sambutan membantu kerajaan menyelesaikan masalah PATI ini, bukannya hanya merungut dan komen sahaja,” katanya.