Jabatan Penjara: Tun M Tak Dibenarkan Lawat Anwar Kerana Tiada Permohonan

29
0
KONGSI

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dibenarkan melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras, semalam kerana bekas perdana menteri itu tidak membuat permohonan kepada Jabatan Penjara, kata Datuk Seri Zulkifli Omar.

Ketua pengarah Jabatan Penjara itu turut menyangkal tuduhan pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu kononnya arahan itu dikeluarkan menteri dalam negeri.

“Jabatan Penjara serta Penjara Sungai Buloh tidak pernah menerima permohonan daripada Dr Mahathir untuknya menemui Anwar, jika ada permohonan berkemungkinan kita akan pertimbangkan.

“Keputusan untuk membenarkan itu datang dari penjara, bukannya timbalan perdana menteri,” katanya pada sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Semalam, Dr Mahathir meluahkan rasa sedih selepas dimaklumkan Jabatan Penjara yang mereka diarah untuk tidak membenarkan beliau menemui Anwar oleh pihak atasan di KDN.

“Tidak ada sebab…mereka kata mereka dapat arahan daripada seseorang yang tinggi yang saya tak dibenarkan untuk berjumpa Anwar,” kata pengerusi PPBM itu di ruang legar hospital itu semalam.

Dr Mahathir berkata, beliau mahu melawat Anwar bagi mengucapkan terima kasih secara peribadi kepadanya kerana memudahkan rundingan calon perdana menteri PH.

Pada 27 November lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dibenarkan menziarahi Anwar yang ketika itu dirawat di Hospital Kuala Lumpur dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng turut dibenarkan berbuat demikian sebelum itu.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, walaupun berada di luar penjara, seseorang banduan itu masih tertakluk kepada peraturan di bawah Seksyen 26 Akta Penjara 1995.

“Semasa dalam kawalan pegawai penjara dan walaupun berada di luar penjara, seseorang banduan disifatkan masih berada di dalam penjara, serta tertakluk kepada semua undang-undang, peraturan serta perintah tetap komisioner jeneral penjara.”

Katanya, pertimbangan khas diberikan kepada pihak tertentu, selain ahli keluarga untuk menemui banduan.

“Setiap permohonan akan dipertimbangkan berasaskan urusan yang disifatkan antaranya mendesak dan mustahak seperti ditetapkan peraturan penjara.

“Kita kena lihat juga, bila nak melawat dan banduan itu juga ada kuasa untuk terima permohonan lawatan atau tidak. Setiap permohonan itu terletak di bawah bidang kuasa pegawai penjara.

“Kita akan lihat kesan daripada pertemuan itu, sama ada akan mewujudkan kontroversi, ancaman atau tidak dan adakah akan menjadi viral serta berlaku perkara-perkara tidak baik.”

Ahad lalu, Jabatan Penjara mengumumkan Anwar akan dibebaskan pada 8 Jun, selepas diberi 1/3 remitan daripada hukumannya.

Bagaimanapun, Anwar hanya layak menyertai pilihan raya 5 tahun selepas hari pembebasannya.