Isu Tender Balak: Azmin Jawab Tuduhan Chegubard

255
0

Oleh: Khizairi Khizan

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membidas kenyataan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard  yang sebelum ini mendakwa Ahli Dewan Udangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu terlibat dalam projek pembalakan bernilai RM45 juta yang diserahkan kepada dua syarikat tanpa melalui proses tender.

Azmin menegaskan, semua proses membabitkan pembalakan di Selangor diuruskan Jabatan Perhutanan Negeri secara tender terbuka.

Katanya, sejak 2008 Menteri Besar tidak pernah campur tangan dalam urusan itu dan beliau meminta semua pihak tidak terus menyebarkan fitnah berkenaan isu terbabit.

“Semua proses perolehan di Selangor sejak 2008 dibuat secara tender terbuka. Menteri Besar tidak pernah terlibat dengan proses itu dan saya sendiri tidak duduk dalam jawatankuasa tender.

“Khusus pembalakan diuruskan Jabatan Perhutanan Negeri. Jangan buat fitnah,” katanya yang sebelum itu mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di bangunan SUK Selangor.

Terdahulu, Chegubard meminta Azmin dan  Jabatan Perhutanan Negeri memberikan penjelasan dalam masa 14 hari.

Beliau berkata, projek pembalakan tersebut ialah bagi membersihkan kawasan hutan untuk projek jajaran talian penghantaran elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Sungai Terentang, Rawang dan Mahkota Cheras.

Beliau juga mendakwa, salah satu syarikat yang mendapat projek pembalakan itu didapati menjalankan perniagaan dalam bidang spa dan kecantikan.