Isu RM2.6 Billion: UMNO Johor Terima Keputusan Peguam Negara

140
0
KONGSI
JOHOR BAHRU: UMNO Johor menerima keputusan Peguam Negara berhubung siasatan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan berharap agar semua pihak menghormati keputusan tersebut.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan itu merupakan pendirian UMNO Johor dalam kepimpinan parti.

Menurutnya, titik penutup diperlukan dan semua anggota UMNO perlu mara ke hadapan dengan segera kerana banyak masa, tenaga dan perhatian telah dicurahkan untuk menjelaskan serta menjernihkan isu tersebut.

“Kita tidak seharusnya terus terbawa-bawa dengan perkara ini. Kita perlukan titik penutup dan perlu segera kembali mara ke hadapan,” kata Khaled yang juga Menteri Besar Johor.

Beliau berkata demikian dalam satu ucapan pada majlis perjumpaan khas UMNO Johor bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, pada Ahad.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Selain itu, beliau turut menegaskan agar pengurusan dana yang melibatkan parti serta kepentingan awam perlu dilakukan dengan lebih telus.

Justeru, UMNO Johor menyokong usaha kepimpinan negara untuk mengkaji semula sistem pembiayaan dana pergerakan politik dalam negara.

Tambah beliau, segala isu yang melanda parti itu beru-baru ini merupakan satu proses yang mendewasakan UMNO dan perlu dilalui untuk menjadi lebih matang, berketahanan dan lebih baik.

Pada 26 Jan lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata Najib tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

Menurutnya, kertas siasatan berhubung dua kes berkenaan dikembalikan pada hari berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan arahan supaya ia ditutup.

Beliau berpuas hati dengan keterangan saksi serta dokumen yang kemukakan SPRM berhubung kertas siasatan berkaitan dana yang dikatakan berjumlah ‘RM2.6 bilion’ yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri.