Isu LGBT: ‘Apa Yang Mereka Perjuangkan Sebenarnya Ialah Kebebasan Haiwan’

27
0

SHAH ALAM: Kerajaan Pulau Pinang digesa tidak tunduk dengan desakan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berhubung potret aktivis berkenaan yang diturunkan dalam festival pameran fotografi ‘Stripes and Strokes’ di George Town.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pihak yang menyuarakan supaya gambar itu diletakkan semula merupakan individu yang tidak faham dengan erti sebenar kebebasan.

“Pihak yang menyuarakan kekecewaan dengan tindakan Kerajaan Negeri ini ternyata tidak memahami erti kebebasan.

“Apa yang mereka perjuangkan sebenarnya ialah kebebasan haiwan kerana kebebasan manusia mestilah dibatasi agama dan adat,” katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa mengaku mengarahkan potret aktivis LGBT itu diturunkan sambil menjelaskan hal tersebut berbentuk promosi di mana bertentangan dengan polisi PH berhubung isu LGBT.

Pameran bertemakan patriotisme itu menampilkan aktivis Nisha Ayub dan Pang Khee Teik bergambar bersama Jalur Gemilang dan arahan penurunan potret mereka itu dilaporkan diarahkan oleh kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, Islam tidak menentang aktiviti seni tetapi jangan sampai terlepas kendalian agama dan adat.

“Biarlah segala kegiatan seni yang kita lakukan mampu menyumbang kepada pembinaan peribadi dan jati diri bangsa kita, bukan seni yang liar dan tidak bermoral yang boleh membawa bangsa dan negara kita ke jurang keruntuhan,” katanya.

Selepas potretnya diturunkan, Nisha yang merupakan seorang transgender menyifatkan tindakan tersebut tidak selari dengan semangat Malaysia Baharu.

Pengasas bersama Pertubuhan Pembangunan Kebajikan dan Persekitaran Positif Malaysia (Seed Foundation) itu turut mempersoalkan sama ada golongan sepertinya tidak boleh menunjukkan kecintaan kepada negara.