Isu GST Lebih Beri Kesan Berbanding 1MDB Di Sarawak – Penganalisis

212
0
KONGSI

Oleh: Khizairi Khizan

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dilihat lebih bersedia dalam mengahadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada kali ini.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (UMS), Dr Jeneri Amir berkata, daripada 2/3 keseluruhan kerusi dipertandingkan ia berada di luar bandar di mana harapan untuk BN memenangi pilihan raya berkenaan sudah pasti.

Namun kata beliau,  persoalannya sejauh mana BN mampu mendapat balik kerusi sekarang yang dimiliki pembangkang iaitu DAP di kawasan bandar.

“DAP dilihat sebuah parti pembangkang yang kuat di Sarawak dan untuk kali ini yang menjadi teka teki untuk kita semua ialah sejauh mana DAP dapat mengekalkan kerusi  yang dimenenangi mereka sebelum ini yang berjumlah 12 kerusi,” katanya ketika dihubungi MySuara.

Selain itu, Dr Jeneri turut menjelaskan, faktor populariti Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem juga memainkan peranan yang penting untuk BN menang.

Katanya lagi, Adenan mempunyai populariti yang tinggi sehingga mencecah 80 peratus kerana beliau dilihat mesra dengan semua pihak termasuk kaum Cina, mengiktiraf sijil peperiksaan bersepadu dan memperuntukkan perbelanjaan untuk pembangunan negeri itu.

“Saya rasa peranan Ketua Menteri kali ini amat baik sekali untuk mempengaruhi undi.

“Berdasarkan sentimen akar umbi melalui kajian yang dilakukan beberapa kali sepanjang tahun lalu dan awal tahun ini, memang ada sedikit perubahan yang baik daripada santimen kaum Cina terhadap Ketua Menteri .

“Sebelum ini mereka tidak selesa dengan kepimpinan Ketua Menteri yang baru kerana faktor kepimpinan yang lama,” jelasnya lagi.

Namun dalam perkembangan lain, Dr Jeneri tidak menafikan bahawa isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dimainkan pembangkang boleh mempengaruhi PRN kali ini berbanding skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kata beliau, isu GST sememangnya terkesan kepada rakyat termasuklah di Sarawak.

“GST ini implikasinya memberi kesan menyeluruh tidak kira bandar atau luar bandar, tidak kira kaum dan juga tidak kira kaya atau miskin.

“Jadi kita boleh anggap berdasarkan penyelidikan di peringkat akar umbi, GST ini adalah isu utama yang memberi kesan… tapi saya percaya ia tidak menjejaskan dengan teruknya dalam undi kali ini kerana masyarakat di Sarawak terutama luar bandar mereka lebih mementingkan soal pembangunan.

“Menyentuh pula isu 1MDB, berdasarkan perbincangan yang diadakan sebelum ini, ia tidak memberi kesan kepada pengundi di luar bandar, malah mereka tidak faham tentang isu berkenaan kerana mereka menganggap ia isu yang kompleks. Cuma bagi yang dibandar mungkin ada kesan tetapi tidak banyak,” katanya lagi.