Isteri Dan Dua Remaja Didakwa Membunuh CEO Cradle

78
0

PETALING JAYA: Balu kepada Nazrin Hassan dan dua remaja didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) itu, tahun lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada Samira Muzaffar, 44, dan dua remaja terbabit yang masing-masing berusia 13 dan 16 tahun.

Pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Kedua-dua remaja itu hadir ke mahkamah dengan berpakaian sekolah dan berada di luar kadang tertuduh ketika tuduhan dibacakan.

Mengikut kertas tuduhan, Samira didakwa bersama dua remaja dan seorang lagi yang masih bebas iaitu warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari didakwa melakukan pembunuhan dan menyebabkan kematian terhadap Nazrin, 45.

Kesalahan itu dilakukan di kediaman mereka di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, pada jam 11.30 malam, 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin dan Mohd Zain Ibrahim, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam L S Leonard dan Mahinderjit Singh.

Mohamad Ikhwan membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Nazrin meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya pada 14 Jun lalu, yang pada mulanya dilaporkan maut akibat kebakaran selepas telefon bimbit dalam biliknya meletup.