Irwan Nafi Kerajaan BN ‘Rompak’ RM18 Bilion

18
0

KUALA LUMPUR: Dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang mengatakan kerajaan BN sebelum ini ‘merompak’ RM18 bilion yang sepatutnya untuk bayaran balik GST dinafikan oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Mohd Irwan menjelaskan bahawa wang tersebut dimasukkan dahulu dalam akaun kumpulan wang disatukan dan jumlah bagi bayaran balik dimasukkan dalam akaun amanah secara bulanan berdasarkan keperluan Jabatan Kastam, hasil audit terhadap tuntutan bayaran balik dan kedudukan hasil kerajaan.

Menurutnya, ia selepas mesyuarat pengurusan aliran tunai kerajaan persekutuan yang diadakan setiap bulan.

“Setiap sen dikira, ia adalah duit rakyat, lebih penting ia berada dalam Kumpulan Wang Disatukan, kemudian bila diperlukan, ia akan dikeluarkan,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia, hari ini.

Semalam, Guan Eng mendakwa bahawa kerajaan sebelum ini telah menyalahgunakan RM18 bilion daripada RM19.4 bilion bayaran balik GST yang telah dikutip sejak sistem itu diperkenalkan.

Katanya, tempoh pembayaran yang sepatutnya diberikan kepada peniaga adalah dalam masa dua minggu namun ia tidak berlaku sehingga tertangguh selama dua tahun.