Inspektor Polis Dihukum Gantung Kes Rompakan

178
0
KONGSI

IPOH: Seorang pegawai polis dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, sebentar tadi, selepas didapati bersalah membenarkan pistolnya diguna rakannya membunuh pemilik kedai emas ketika mereka melakukan rompakan, kira-kira tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Samsudin Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Inspektor Mohd Taufik Peter Abdullah, 49, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah sepanjang perbicaraan.

Mohd Taufik dituduh mengetahui rakannya, S Nagendran, yang kini sudah meninggal dunia, mempunyai senjata api dan melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian terhadap Chen Fun Kee.

Kejadian itu berlaku ketika tertuduh dan Nagendran melakukan rompakan di Max Goldsmith & Jewellery di No 15, Jalan Sultan Iskandar di sini, antara jam 3.30 hingga 5.10 petang pada 16 September 2009.

Mohd Taufik yang ketika ini digantung tugas, didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Naran Singh, Muhammad Farhan Ahmad Fadzir dan Ashvinder Kaur.