Ini Masa Paling Sesuai Untuk Pelabur Asing Datang Ke Malaysia – Tun M

8
0

TOKYO: Ini adalah masa yang paling sesuai untuk golongan pelabur dan peniaga asing mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, walaupun dasar Malaysia sejak dahulu lagi memang mesra kepada perniagaan, namun, Kerajaan Pakatan Harapan akan bersikap lebih terbuka dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan asing ke negara ini.

Ini, jelas Perdana Menteri lagi, termasuk memastikan segala rintangan dan permasalahan yang dihadapi pelabur asing di negara ini dapat diatasi, serta jaminan perniagaan mereka akan dilindungi undang-undang sedia ada.

“Saya beri jaminan bahawa Kerajaan Malaysia memang mahu membantu anda lebih berjaya. Anda datang ke Malaysia, kami akan layan anda sebagai tetamu, kami akan melihat dan menyelesaikan segala masalah anda.

“Kami juga adalah kerajaan yang berpegang teguh pada undang-undang. Walaupun mungkin ada sesetengah undang-undang agak tegas dan menekan, tetapi percayalah bahawa kami akan juga mewujudkan undang-undang yang akan membantu perniagaan anda lebih berkembang,” katanya sewaktu menyampaikan ucaptama di Persidangan Bersama dan Forum Perniagaan Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (Majeca) dan Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (Jameca) kali ke-36, di Tokyo, hari ini.

Persidangan itu merupakan antara kemuncak hari kedua lawatan kerja beliau selama tiga hari, yang bermula semalam.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata, Malaysia asalnya merupakan sebuah negara yang amat miskin, dan bergantung harap sepenuhnya pada industri biji timah dan getah.

Namun, jelas Perdana Menteri lagi, kedua-dua industri itu tidak dapat berkembang selari dengan peredaran zaman, sekali gus menyebabkan kerajaan mencari alternatif dalam menambah sumber pendapatan, termasuk mengambil kesempatan terhadap perkembangan pesat sektor pembuatan dan digital.

“Sebab itu kami mahu melaksanakan kembali dasar mengindustrikan negara. Dan memandangkan kami tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang mencukupi, kami harus bergantung kepada pelabur-pelabur asing seperti anda semua.

“Dan kini kami memerlukan lebih banyak pelaburan dalam industri berteknologi tinggi, serta berasaskan teknologi maklumat, yang mana kami rasa dapat membantu memajukan dan mengembangkan ekonomi Malaysia dengan lebih pantas,” katanya lagi.

Sehubungan itu Perdana Menteri berkata, beliau mengharapkan agar persidangan Jameca-Majeca kali ini dapat memberi tumpuan yang lebih serta melihat peluang yang ada di bawah kerajaan baharu Malaysia.

“Saya beri jaminan, di bawah Malaysia baharu, kerajaan Malaysia akan sentiasa menjaga anda. Perniagaan anda akan menjadi lebih maju kerana polisi di bawah kerajaan ini, kerajaan yang didirikan oleh pihak yang dahulunya merupakan parti pembangkang, tetapi berpegang teguh pada prinsip demokrasi, kebebasan, dan kedaulatan undang-undang,” katanya lagi.