Hutang Malaysia Masih Terurus – Najib

18
0

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan, kadar hutang negara masih terurus dan tidak melebihi 55% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Najib yang juga menteri kewangan berkata tahap keberhutangan negara kini berada di paras 50.8% daripada jumlah KDNK.

“Ini bermakna kedudukan hutang kita masih terurus dan Malaysia dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana jika hendak dibandingkan dengan beberapa negara maju, di mana hutang kerajaannya berbanding KDNK jauh lebih tinggi sehingga melebihi 200%,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Tan Sri Dr Muhammad Leo Michael Toyad (Mukah-BN) mengenai langkah jangka panjang kerajaan menguruskan ekonomi negara khususnya penarafan kredit bagi mengekalkan kemampanan defisit negara pada kadar rendah serta memastikan pertumbuhan stabil.

Najib turut membidas tanggapan Malaysia sebuah negara bangkrap.

“Kita tahu apa mereka (pembangkang) katakan di luar negara. Apa mereka katakan tiada asas. Kalau ada pihak kata Malaysia ini bankrap, ‘failed state’ (negara yang gagal), itu satu pembohongan jelas,” katanya.