Hos RM16 Punca PROTON Panggil Balik 94,577 Kereta

199
0

KUALA LUMPUR: Kerosakan pada hos berharga RM16 menjadi punca PROTON memanggil balik 94,577 unit kereta melibatkan tiga model – Exora, Preve dan Suprima S.
Hari ini, PROTON mengumumkan akan mengakhiri masalah kebocoran pada hos penyejuk pelincir (oil cooler hose) pada enjin 1.6L Campro CFE dengan menggantikan komponen itu.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Abdul Harith Abdullah, berkata pihaknya mengaku masalah tersebut dan telah menjumpai komponen yang sesuai untuk menyelesaikannya.

Katanya, hos tersebut boleh pecah apabila kenderaan sudah mencapai jarak perjalanan 40,000 km kerana bahan dalam hos tersebut yang rosak akibat kandungan pelincir yang menjadi asid.

Memetik laporan blog permotoran, careta.my, hos tersebut juga tidak mampu menahan suhu operasi melepasi 150 darjah Celcius.

Antara punca lain ialah penggunaan aditif, tidak mengikut servis berjadual, jenis pelincir dan bahan AEM yang digunakan menyerap pelincir.

Untuk mengatasi masalah itu, PROTON akan menukarkan komponen hos dari jenis AEM (Ethylene Acrylic) kepada jenis ACM (Polyacrylate).

Proton juga akan mengeluarkan notis pada pusat servis untuk memasukkan pemeriksaan ke atas hos tersebut sebagai salah satu pemeriksaan berkala yang wajib.

Model-model yang terbabit ialah Exora (59,663 unit), Preve (28,642 unit) dan model Suprima S (6,290 unit) yang kesemuanya menggunakan enjin Campro CFE dengan pengecas turbo.

Bagi kenderaan yang masih di bawah waranti, kos penukaran dan kos pasang akan ditanggung sepenuhnya oleh PROTON manakala untuk kenderaan yang sudah tamat tempoh waranti, ia juga percuma sekiranya servis masih dilakukan secara berkala.

Menurut blog itu, kenderaan yang sudah dihantar servis di luar, kos komponen cuma berharga RM16 (tidak termasuk kos pasang).