Hormati Keputusan Ibrahim Ali – PAS

65
0

KOTA BHARU: PAS Kelantan berpendapat semua pihak perlu menghormati keputusan Datuk Dr Ibrahim Ali yang menubuhkan parti baharu, walaupun diakui tindakan itu akan memecahbelahkan orang Melayu.

Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata ini kerana, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) itu sudah dianggap sebagai tokoh politik veteran yang pernah bersama dengan banyak parti, namun gagal menyesuaikan diri.

Beliau berkata, apabila dirasakan semua parti politik tidak sesuai, maka bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu bertindak menubuhkan parti sendiri.

“Walaupun keadaan (perpecahan) itu berlaku, PAS tidak akan terjejas terutama di Kelantan kerana kita yakin dengan perkembangan mutakhir dan sejarah politik Malaysia, rakyat yakin PAS satu-satunya parti yang boleh mempertahankan Islam dan Melayu.

“Tambahan pula dalam negara demokrasi ini, kita tidak boleh sekat perkara itu berlaku. Jadi kita perlu hormati keputusan Ibrahim untuk menubuhkan parti baharu,” katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.

Ibrahim bersama bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga bekas Timbalan Menteri Penerangan, Tan Sri Khalid Yunus menubuhkan parti baharu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) hari ini.

Ibrahim sebelum ini pernah kembali menyertai UMNO selepas meninggalkan parti itu untuk menyertai parti serpihan Semangat 46.

Beliau kemudiannya sekali lagi meninggalkan UMNO sebelum bertanding sebagai calon Bebas.

Beliau juga pernah memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas atas tiket PAS pada 2008.

Ibrahim sebelum ini menolak keras gabungan politik Pakatan Harapan (PH), selain menjauhkan diri dari UMNO berikutan dakwaan yang mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan skandal 1Malaysia Development Berhad,

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Ibrahim kalah teruk sehingga hilang deposit selepas hanya memperoleh 5,800 undi berbanding calon PAS, Ahmad Fadli Shaari yang mendapat 28,080 undi dan calon BN, Nor Azmawi Ab Rahman (15,005 undi) di kerusi Parlimen Pasir Mas.